KOTA BHARU – Suasana pilu menyelubungi Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, apabila kakitangan hospital memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, menerusi acara Honor Walk awal pagi tadi.
Terdahulu, lampu hijau turut dinyalakan di bangunan hospital berkenaan sebagai tanda penghormatan dan simbolik proses pembedahan pendermaan organ.

Selain penghormatan pihak hospital, orang ramai, kenalan Allahyarham turut hadir memberi penghormatan terakhir kepadanya.
Difahamkan, pembedahan bermula jam 10.45 malam sebelum tamat sekitar jam 1 pagi tadi.
Sementara itu, ahli keluarga Allahyarham dikenali sebagai Siti Hawa menerusi Facebook memaklumkan, mereka sekeluarga membenarkan pihak hospital melakukan pembedahan pendermaan organ adiknya.
“Assalamualaikum semua, di sini saya sebagai ahli keluarga Muhammad Aidil ingin membuat klarifikasi, terdapat salah faham antara pihak keluarga dan doktor pada hari kejadian.
Penderma kematian otak
“Jadi hari ini (semalam) doktor sudah menjelaskan ada dua jenis kematian, kematian jantung dan kematian otak. Aidil mengalami kematian otak walaupun organ beliau yang lain berfungsi dengan baik.
“Organ beliau yang lain bergantung hidup pada mesin, jika mesin itu diputuskan, Aidil tidak mampu bernafas sendiri. Jadi dalam erti biologi, Aidil memang sudah tidak ada dan kes aidil ini adalah satu dalam 10,000,” katanya.
Jelasnya, Allahyarham Aidil adalah insan terpilih dan mereka sekeluarga membenarkan hospital untuk mendermakan beberapa organ adiknya untuk dijadikan amal jariah berterusan buat beliau di dunia.
“Insya-Allah selepas pembedahan terakhir, Aidil akan disemadikan esok (hari ini) jika tiada aral melintang. Kami sekeluarga berharap semua dapat menitipkan doa untuk Aidil,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham yang bekerja di sebuah cafe di Kota Bharu dimasukkan ke HPUSM akibat mengalami kecederaan susulan kemalangan jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia.
Sumber – Berita Harian





