KUALA LUMPUR – Seramai 36 pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen ditahan, digantung tugas atau berdepan pertuduhan di mahkamah kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengeluaran dokumen dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu sepanjang 2025 hingga pertengahan tahun ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata tindakan itu diambil hasil kerjasama strategik Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menerusi beberapa siri operasi khas termasuk Operasi Selat.
Beliau memaklumkan, KDN dengan kerjasama SPRM melancarkan beberapa siri program operasi khas termasuk Operasi Selat.
“Sepanjang 2025 hingga pertengahan 2026, 36 pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen ditahan, digantung tugas atau sedang berhadapan pertuduhan di mahkamah akibat pembabitan dengan sindiket pengeluaran pas dan PLKS palsu.
“KDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang ingin mengetahui mengenai kebocoran dalam sistem sehingga membolehkan dokumen pekerjaan palsu membanjiri pasaran.
Shamsul Anuar berkata, pelaksanaan pas PLKS secara digital itu juga berjaya mengekang hampir 90 peratus kegiatan pencetakan pelekat pas palsu di premis percetakan haram tahun ini.
Menurutnya, pas berkenaan yang tidak lagi menggunakan pelekat fizikal serta diintegrasikan dengan sistem biometrik itu dilaksanakan sepenuhnya sejak penghujung 2024.
“Kegiatan pencetakan pelekat fizikal secara haram berjaya dilumpuhkan hampir 90 peratus pada 2026. Pengesahan di lapangan kini dibuat secara digital melalui peranti pintar dan imbasan kod QR berpusat yang tidak boleh diklon,” katanya.
Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, Jabatan Imigresen menahan 35,109 warga asing menerusi operasi penguatkuasaan dari 1 Januari hingga 15 September lalu.
Katanya, seramai 22,455 lagi diserahkan kepada jabatan itu di pintu masuk negara serta oleh agensi lain termasuk polis.
Warga Indonesia mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 16,784 orang, diikuti Bangladesh (13,543) dan Myanmar (8,452). Bagi tempoh sama, 41,277 warga asing dihantar pulang ke negara asal setelah selesai proses dokumentas.
Menurut beliau, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melaksanakan 642 operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain sehingga 30 September lalu.
“Selain itu, menjalankan 17,488 pemeriksaan berkanun bagi memastikan majikan mematuhi undang-undang perburuhan,” katanya.
Mengenai jenayah, beliau berkata, data polis merekodkan 100,517 tangkapan membabitkan warga asing dari 2024 hingga Oktober lalu, termasuk kesalahan berkait imigresen, perjudian, kecurian, pelacuran, pemerdagangan manusia dan jenayah kekerasan.
Bagaimanapun, katanya, angka berkenaan tidak boleh ditafsirkan sebagai kadar jenayah dalam kalangan warga asing.
“Kadar jenayah perlu dibandingkan dengan jumlah populasi warga asing bagi tempoh berkenaan dan jumlah populasi semasa. Selain itu, seseorang yang ditangkap tidak semestinya disabitkan kesalahan oleh mahkamah,” katanya.
Sumber – Berita Harian





