KUALA LUMPUR – Erma Fatima tidak menyangka hasratnya untuk mendapatkan dua pelakon ternama Indonesia, Christine Hakim dan Reza Rahadian, bagi membintangi Langit 2 Warna akhirnya menjadi kenyataan.
Menurut Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 58, ketika dia menulis skrip, tidak terlintas dalam fikirannya dua pelakon hebat itu akan berlakon dalam filem arahannya.
“Filem ini pada mulanya ditulis mengenai kisah cinta orang Malaysia. Tetapi bila hero yang saya mahukan tidak berkelapangan, jadi saya ubah skrip menjadi kisah cinta dua negara.
“Bila skrip sudah siap, saya berikan kepada sahabat baik dan idola saya iaitu Christine Hakim untuk dapatkan pandangannya. Tetapi tak sangka dia menunjukkan minat untuk terlibat dalam filem ini selepas membaca keseluruhan skrip. Jadi saya olah skrip untuk dia.
“Dia tanya saya sama ada saya sudah ada calon untuk watak hero dalam filem ini. Ketika itu saya belum punya nama yang sahih . Jadi dia mencadangkan saya nama Reza Rahadian. Saya kata tak mungkin Reza akan terima , tapi Christine yakinkan saya juga untuk bertanya dengan Reza dan dia juga menyakinkan Reza untuk terima filem ni.
Tambahnya lagi, dia terpaksa menanti jawapan daripada Reza selama dua bulan sebelum aktor itu memberi kata putus.
“Sejujurnya saya tak rasa Reza akan terima kerana saya tahu dia seorang yang sangat memilih.
“Setiap hari saya tatap skrin telefon menanti jawapan daripada Reza dan akhirnya dia bersetuju membintangi filem ini,jelasnya”
Menariknya, Erma merahsiakan tentang pemilihan Reza dan Christine daripada pelakon-pelakon lain sehinggalah sesi membaca skrip yang berlangsung semalam sebelum sesi sidang media.





