1 Ogos, KUALA LUMPUR, MALAYSIA – Susulan kejayaan edisi sulungnya pada Jun lalu, The RuMa Hotel and Residences meneruskan siri ATAS Key Tables dengan kembalinya GU:UM, restoran stik Korea moden oleh Cef Louis Han yang menerima bintang MICHELIN, untuk program residensi eksklusif selama empat bulan di ATAS. Residensi ini menyusuli penampilan sulung Cef Han di ATAS pada 2025, yang menyaksikan masakannya mula mendapat sambutan daripada pengunjung di Kuala Lumpur, dan turut menandakan kerjasama jangka panjang pertama GU:UM di bandar ini.

Diilhamkan oleh nilai bersama antara masakan berbintang MICHELIN dan layanan hospitaliti MICHELIN Key, ATAS Key Tables merupakan siri sajian istimewa The RuMa. Siri ini menghimpunkan cef bertaraf antarabangsa yang berkongsi visi dengan komitmen The RuMa terhadap kecemerlangan menerusi kerjasama kulinari terpilih yang melangkaui sekadar penampilan jemputan. Sebaliknya, ia bertujuan mewujudkan pertukaran budaya dan kulinari yang berpanjangan.
Berteraskan layanan hospitaliti Malaysia, ATAS merupakan destinasi untuk meneroka dunia kulinari, dengan pendekatan sajian moden yang sentiasa berkembang bagi memberi ruang kepada cef berwawasan dan restoran ternama untuk mencetuskan perbualan kulinari di peringkat global. Residensi GU:UM selama empat bulan mencerminkan usaha kurasi berterusan ini, dengan membawa salah satu konsep sajian Korea kontemporari paling mendapat perhatian ketika ini ke dalam perjalanan kulinari ATAS yang terus berkembang.
Mengenai Cef Louis Han dan GU:UM
Dilahirkan dan dibesarkan di Seoul, Cef Louis Han membina kerjayanya dengan mengekalkan jiwa masakan Korea sambil meneroka pendekatan baharu dalam menyampaikannya. Selepas menyertai pasukan pembukaan Meta di Singapura yang menerima dua bintang MICHELIN serta berkhidmat sebagai Sous Chef di MOSU, Seoul yang menerima tiga bintang MICHELIN, beliau membuka NAE:UM.

Restoran tersebut menerima satu bintang MICHELIN pada tahun pertamanya sebelum beliau menjadi cef Korea pertama yang menerima anugerah MICHELIN Guide Young Chef Award pada 2022.
Dilancarkan di Singapura pada 2024, GU:UM merupakan pelengkap maskulin kepada NAE:UM milik Cef Han. Nama GU:UM diambil daripada perkataan Korea yang bermaksud “memanggang, membakar atau memasak menggunakan api”, dan diasaskan berdasarkan kepercayaan beliau bahawa pengalaman menjamu selera yang tidak dapat dilupakan bukan sekadar bergantung kepada teknik, tetapi turut berkisar tentang hubungan dan kebersamaan.


Sebagai restoran stik Korea moden, GU:UM menampilkan semula konsep barbeku Korea menerusi teknik kulinari yang diperhalusi, sambil mengekalkan kemesraan, keselesaan dan cita rasa yang dekat di hati.
Menu di ATAS
Di ATAS, menu residensi GU:UM berkisar pada elemen api dan kebersamaan. Sajian dimulakan dengan interpretasi kreatif hidangan kegemaran Korea seperti Yukhwae Jeon, Mulhwae dan KFC (Korean Fried Cauliflower) yang unik, sebelum diteruskan dengan hidangan utama yang dipanggang menggunakan arang, termasuk Hanwoo Lower Loin, Woodae Galbi Short Rib dan Surf & Turf Platter.

Seterusnya, menu membawa tetamu kepada cita rasa yang lebih dekat dengan suasana rumah. Uncle Lulu’s Fried Rice, GU:UM’s Cold Japchae, Sujebi Mac & Cheese dan Doenjang Jjigae mengetengahkan rasa nostalgia daripada sajian Korea seharian – hidangan yang lebih dekat dengan kenangan berbanding sekadar persembahan.
Pengalaman menjamu selera diakhiri dengan pencuci mulut yang lebih ringan seperti Hotteok, Mandarin Bingsu dan Koguma Mousse.


Menerusi GU:UM, ATAS menjemput para tetamu menikmati masakan Korea melalui perspektif Cef Louis Han, dengan api menjadi medium untuk menghubungkan manusia, cita rasa yang dekat di hati diberi nafas baharu, dan setiap hidangan membawa kisah tentang warisan, kenangan serta ketukangan.
Maklumat Ringkas
Lokasi: ATAS, The RuMa Hotel and Residences
Tarikh & Masa: 1 Ogos – 30 November 2026
Setiap hari, bermula 6:00 petang
Menu: Untuk melihat menu penuh, sila klik pautan di sini.
Untuk tempahan dan pertanyaan, WhatsApp +60 12 923 2278 atau hubungi +603 2778 0751.
Untuk maklumat lanjut mengenai The RuMa Hotel and Residences, layari The RuMa Hotel and Residences.





