PUTRAJAYA – Penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2026, Datuk Rahim Razali, menegaskan bahawa minat dalam bidang seni perlu disertai kesungguhan menimba ilmu dan memperkukuh kemahiran bagi membina kerjaya yang berdaya tahan dalam industri lakonan dan perfileman.
Seniman berusia 87 tahun itu berkata, kemasukan lebih ramai bakat muda ke dalam industri seni adalah perkembangan positif, namun mereka perlu mempunyai matlamat jelas dan komitmen untuk terus belajar.
“Bagus apabila semakin ramai anak muda menceburi industri lakonan dan perfileman, tetapi nasihat saya, jujurlah dengan diri sendiri dan minat yang kita miliki.
“Pastikan minat itu benar-benar tulen, bukan sekadar suka-suka. Kalau sudah masuk bidang ini, lakukan dengan serius dan jangan sambil lewa.
“Banyakkan membaca untuk menambah pengetahuan, selain memahami selok-belok penceritaan dan pembinaan watak. Semua itu perlu dipelajari atas usaha sendiri,” katanya.
Beliau ditemui selepas menerima anugerah berkenaan pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), kelmarin.
Mengulas kesediaan berkongsi pengalaman dengan generasi pelakon baharu, pengarah filem Abang itu berkata, beliau sering menerima mesej daripada individu yang mahu mendapatkan tunjuk ajar mengenai lakonan.
Bagaimanapun, Rahim yang berkecimpung dalam bidang seni sejak 1959 berkata, beliau lebih selesa berkongsi ilmu menerusi kelas, syarahan atau bengkel rasmi berbanding memenuhi permintaan secara individu.
“Memang ramai menghantar mesej kepada saya untuk berjumpa dan bertanyakan pelbagai perkara mengenai lakonan. Namun, sukar untuk saya melayan semua permintaan itu kerana tidak mahu dilihat pilih kasih.
“Kalau ada kelas, sesi syarahan atau bengkel yang dianjurkan secara rasmi dan khidmat saya diperlukan, insya-Allah saya boleh pertimbangkan selagi keadaan mengizinkan,” katanya.
Mengulas penerimaan Anugerah Tokoh Seri Angkasa, Rahim mengakui terharu dan bersyukur apabila dipilih menerima pengiktirafan yang disifatkan mempunyai kedudukan istimewa dalam perjalanan seninya.
Katanya, anugerah berkenaan menjadi antara platform penting untuk menghargai sumbangan penggiat industri penyiaran negara.
“Saya sangat terharu apabila mendapat tahu akan menerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa kerana inilah antara anugerah yang sudah lama saya hargai, sanjungi dan hormati.
“Dunia penyiaran tidak mempunyai banyak anugerah atau pertandingan seumpama ini. Jadi, apabila diumumkan sebagai penerima, saya sangat bersyukur dan berterima kasih,” katanya.
Anugerah itu disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, dan melayakkan Rahim menerima wang tunai RM10,000, sebuah kereta elektrik Proton e.MAS 7 bernilai RM150,000, wang tunai tambahan RM8,000 tajaan CIMB serta pakej percutian.
Rahim turut mengakui terkejut apabila mengetahui kereta elektrik itu, termasuk dalam hadiah kemenangan kerana beliau belum pernah memiliki atau menaiki kenderaan seumpamanya.
“Memang terkejut apabila diberitahu akan menerima sebuah kereta. Saya langsung tidak tahu mengenainya.
“Apabila tahu kereta itu jenis elektrik, bertambah terkejut kerana ini kali pertama saya menerima kereta elektrik. Malah, saya belum pernah menaikinya.
“Cuma sekarang saya sudah tidak dibenarkan memandu, jadi bolehlah anak-anak yang membawanya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rahim berkata, beliau masih menerima tawaran berlakon, namun perlu menilai kemampuan fizikal dan tempoh penggambaran sebelum bersetuju menyertai sesebuah produksi.
Katanya, faktor usia menyebabkan beliau tidak lagi mampu berada terlalu lama di lokasi penggambaran, sekali gus mengehadkan jenis produksi yang boleh disertainya.
“Tawaran berlakon masih ada, tetapi agak sukar untuk saya terima kerana sudah tidak mampu berada lama di lokasi.
“Kalau penggambaran sehari dua mungkin masih boleh dipertimbangkan, tetapi kalau lebih daripada itu, saya sudah tidak larat.
“Usia saya pun sudah 87 tahun. Tiga tahun lagi genap 90 tahun, insya-Allah kalau tuhan panjangkan umur,” katanya.
Beliau berkata, setiap tawaran akan diteliti berdasarkan tempoh penggambaran dan komitmen yang diperlukan sebelum keputusan dibuat.
“Saya akan bertanya dahulu berapa lama penggambaran dan sejauh mana pembabitan saya diperlukan.
“Saya perlu jujur dengan diri sendiri. Kalau tahu tidak mampu melaksanakan tanggungjawab itu, saya akan berterus terang dan menolak tawaran secara baik,” katanya.
Rahim turut mengakui keupayaannya menghafal dialog semakin berkurangan berbanding ketika berada di kemuncak kerjaya.
“Alhamdulillah, saya masih boleh menghafal skrip, tetapi kemampuan itu sudah berkurangan.
“Kalau dahulu lima hingga 10 muka surat skrip pun tiada masalah, tetapi sekarang lima baris ayat pun sudah terasa susah,” katanya.
Sumber – Berita Harian





