Saturday, October 24, 2026
HomeBERITAKerjasama Kerajaan Persekutuan dan Sabah Perkasa Usahawan Tempatan

Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Sabah Perkasa Usahawan Tempatan

KOTA KINABALU – Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah terus diperkukuh bagi membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan, memperluas pasaran serta meningkatkan daya saing.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata sokongan bersepadu antara kerajaan, komuniti perniagaan dan masyarakat amat penting untuk memperkasakan perusahaan tempatan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penganjuran Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026 yang berlangsung di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu, dari 23 hingga 25 Oktober.

Menurutnya, sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat menunjukkan semangat kerjasama yang perlu diteruskan bagi menyokong perkembangan komuniti usahawan, khususnya di Sabah.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku penganjur yang sentiasa berusaha menyediakan sokongan kepada komuniti usahawan di negeri itu.

Katanya, kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, usahawan dan masyarakat merupakan antara usaha penting untuk memperkukuh perniagaan tempatan.

Karnival HPM Edisi Sabah 2026 turut menyediakan platform untuk mendekatkan pelbagai peluang keusahawanan kepada masyarakat, selain memberi ruang kepada orang ramai mengenali dan menyokong produk tempatan.

Sabah yang mempunyai kepelbagaian produk serta keunikan tersendiri dilihat berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing. Sehubungan itu, akses kepada pembiayaan, bimbingan perniagaan dan pasaran yang lebih luas penting bagi membantu perusahaan tempatan berkembang secara mampan.

Pada masa sama, penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan perlu terus digalakkan bagi melahirkan generasi usahawan baharu yang berani meneroka peluang serta menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perniagaan.

Ewon turut mengajak penduduk sekitar Kota Kinabalu untuk mengunjungi karnival berkenaan yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 malam, dengan kemasukan percuma kepada orang ramai.

Beliau turut menggalakkan masyarakat membawa keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan acara itu serta memberikan sokongan kepada produk dan usahawan tempatan.

Karnival tersebut membawa semangat “Bikin Lokal Jadi Hebat, Usahawan Onsoi!” sebagai galakan untuk terus menyokong perkembangan perniagaan tempatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Nak Kurus Demi GV, Saya Diet Hardcore, Tak Makan Seminggu’ –...

0
PETALING JAYA – Menjadi antara peserta Gegar Vaganza musim ke-13 (GV13), penyanyi Shahir berjaya menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram (kg) dalam tempoh tiga...

CATEGORIES