Saturday, October 24, 2026
HomeSUKANKimi Antonelli Intai Cipta Sejarah Di GP Amerika Syarikat

Kimi Antonelli Intai Cipta Sejarah Di GP Amerika Syarikat

AUSTIN – Kimi Antonelli mengakui bahawa dia memerlukan hujung minggu yang sempurna pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat bagi merealisasikan impiannya untuk merangkul kejuaraan dunia pemandu buat kali pertama.

Pelumba Itali berusia 20 tahun itu, yang mewakili Mercedes, berpeluang menjadi juara dunia termuda dalam sejarah Formula Satu (F1) dan pelumba Itali pertama yang meraih gelaran itu sejak Alberto Ascari pada 1953.

Bagaimanapun, Antonelli perlu memenangi perlumbaan Ahad ini, manakala pencabar terdekat yang juga rakan sepasukannya, George Russell, gagal menamatkan perlumbaan dalam kelompok lapan teratas.

Dia juga memerlukan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dari Ferrari, menamatkan perlumbaan di luar kelompok empat teratas.

“Apabila difikirkan, memang sukar dipercayai. Bagi saya, segala-galanya perlu berjalan sempurna sepanjang hujung minggu ini, manakala pelumba lain perlu mencatat keputusan buruk, sesuatu yang sukar berlaku.

“Sudah tentu, apa-apa sahaja boleh berlaku dan memang sukar dipercayai apabila memikirkannya. Kami mengadakan mesyuarat pagi tadi dan berkata, ‘nikmati sahaja perlumbaan’.

“Jadi, kami mengekalkan pendekatan sama seperti sepanjang tahun ini.”Kami akan mengharungi satu perlumbaan demi satu perlumbaan dan saya hanya cuba memberikan yang terbaik setiap hujung minggu. Selepas itu, kita lihat apa yang berlaku,” kata Antonelli sambil tersenyum dan kelihatan tenang ketika bercakap kepada wartawan pada sidang media di Litar Amerika.

Hamilton, juara dunia tujuh kali yang mengosongkan tempatnya di Mercedes untuk Antonelli selepas berpindah ke Ferrari, turut memuji bakat serta sikap positif pelumba muda Itali itu.

Ketika ditanya sama ada dia mempunyai nasihat buat Antonelli yang semakin hampir mengecapi kejayaan besar itu, Hamilton tersenyum sebelum menjawab: “Perlahankan langkah!”

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Dari Nektar Bunga Menjadi Madu, Ini Adalah Proses Yang Dilalui Lebah

0
Madu merupakan bahan pemanis semula jadi yang dihasilkan oleh lebah melalui proses pengumpulan dan pemprosesan nektar bunga. Proses ini melibatkan kerjasama lebah pekerja untuk...

CATEGORIES