Pernahkah anda melihat kucing memilih untuk duduk di dalam kotak kosong walaupun sudah disediakan tempat tidur yang lebih luas dan selesa? Tabiat ini sebenarnya berkait dengan naluri semula jadi kucing yang gemar mencari tempat perlindungan dan ruang yang memberikan rasa selamat.
Menurut Dr Gabriella Smith, pakar dalam bidang kognisi perbandingan haiwan dari Universiti Perubatan Veterinar di Vienna, ruang sempit boleh memberikan keselesaan kepada kucing melalui tekanan pada bahagian sisi tubuhnya.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal PLOS ONE pada 2019 turut mendapati bahawa tempat persembunyian membantu mengurangkan tekanan dalam kalangan kucing yang baru tiba di pusat perlindungan haiwan. Kajian tersebut menilai tahap tekanan kucing berdasarkan postur badan, bunyi yang dikeluarkan dan tahap aktivitinya.
Apabila tidak mempunyai tempat persembunyian yang sesuai, sesetengah kucing akan mencari alternatif lain, termasuk bersembunyi di bawah bekas atau objek yang boleh memberikan perlindungan.
Selain memberikan rasa selamat, kotak juga boleh menjadi tempat kucing memerhati persekitaran tanpa terlalu mendedahkan diri. Sebagai haiwan pemangsa, kucing mempunyai naluri untuk mengintai dan menerkam sasaran, termasuk ketika bermain.
Menariknya, kecenderungan kucing terhadap bentuk kotak turut dikaji melalui eksperimen yang dijalankan oleh Dr Gabriella Smith pada 2021. Kajian tersebut menguji sama ada kucing tertarik untuk duduk di dalam bentuk kotak dua dimensi yang hanya digambarkan di atas lantai, termasuk ilusi visual yang dikenali sebagai kontur Kanizsa.
Hasil eksperimen menunjukkan bahawa kucing boleh tertarik untuk duduk di dalam bentuk visual tersebut, sekali gus memberikan petunjuk bahawa persepsi visual mereka terhadap bentuk dan sempadan ruang lebih kompleks daripada yang disangka.
Kesimpulannya, tabiat kucing suka duduk di dalam kotak bukan sekadar gelagat comel. Ruang tersebut boleh memberikan rasa selamat, tempat untuk bersembunyi dan peluang untuk memerhatikan persekitaran. Oleh itu, menyediakan kotak yang bersih dan selamat boleh menjadi salah satu cara mudah untuk memenuhi keperluan tingkah laku semula jadi kucing peliharaan.
Sumber – Syok





