Monday, October 26, 2026
HomeHIBURANPuteri Aishah Akui Kurang Yakin Ketika Uji Bakat Dalam Dunia Pemfileman

Puteri Aishah Akui Kurang Yakin Ketika Uji Bakat Dalam Dunia Pemfileman

KUALA LUMPUR – Perasaan gementar dan kurang keyakinan diri ketika menjalani uji bakat antara faktor yang menyebabkan pelakon Puteri Aishah tidak lagi muncul di layar perak sejak membintangi filem sulungnya, Pulang, pada 2018.

Bukan dia tidak berminat untuk terus membintangi filem, sebaliknya, Puteri, 32, memberitahu, kebanyakan tawaran diterima memerlukan dirinya menjalani uji bakat, situasi yang diakuinya agak mencabar untuk menghidupkan watak diberikan.

Akuinya, berbeza dengan penggambaran drama yang membolehkannya membina emosi ketika beraksi bersama pelakon lain di lokasi sebenar, sesi uji bakat menuntutnya menggunakan imaginasi untuk membayangkan situasi dan menghayati watak.

“Bukan saya tidak mahu berlakon filem atau tidak pernah mencuba. Selepas membintangi Pulang, kebanyakan tawaran filem yang diterima memerlukan saya menghadiri uji bakat.

“Saya akui kurang mahir ketika menghadiri uji bakat kerana susah hendak membayangkan situasi dalam babak diberikan, lebih-lebih lagi apabila tidak beraksi bersama pelakon sebenar atau berada di lokasi penggambaran sebenar.

“Berbeza dengan drama, saya terus berlakon bersama pelakon lain di lokasi sebenar. Ketika uji bakat pula, saya perlu berimaginasi untuk menghidupkan watak dan situasi. Jadi, saya kurang mahir dalam aspek itu dan sering kali gagal ketika uji bakat,” katanya.

Mengulas pengalaman berdepan penolakan, ibu kepada seorang cahaya mata itu mengakui kegagalan dalam sesi uji bakat sebelum ini sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan dirinya untuk mencuba lagi.

Pengalaman itu membuatkannya lebih berhati-hati dan gementar setiap kali perlu membuktikan kemampuan membawa watak dalam situasi yang tidak biasa dilaluinya.

“Apabila pernah ditolak dalam uji bakat sebelum ini, saya menjadi gementar.

“Saya mula tertanya-tanya sama ada mampu membawa watak dengan baik apabila perlu berimaginasi sendiri tanpa bantuan pelakon sebenar,” katanya.

Bagaimanapun, Puteri berkata, dia tidak berdepan masalah besar ketika menjalani penggambaran sebenar kerana lebih mudah menjiwai watak apabila dapat berinteraksi dengan pelakon lain.

Akuinya, situasi berbeza ketika uji bakat apabila dia perlu bergandingan dengan pengarah uji bakat yang membacakan dialog sebagai pasangan lakonan, sekaligus mempengaruhi keupayaannya membina emosi bagi babak tertentu.

“Kadangkala, apabila menyampaikan dialog bersama pelakon sebenar, saya lebih yakin. Namun, ketika uji bakat, saya perlu berlakon bersama pengarah uji bakat yang membaca dialog sebagai pasangan lakonan.

“Jika penyampaian dialog itu kurang membantu membina emosi, saya sukar untuk mendapatkan mood yang diperlukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Puteri membintangi drama Perempuan Sesudah Lafaz arahan Nizam Zakaria yang bakal disiarkan menerusi TV3 tidak lama lagi.

Drama berkenaan turut menampilkan Yusuf Bahrin, Riena Diana, Nora Danish, Syazwan Zulkifli dan Muhsin Nadzli.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

TVS Rangkul Tiga Anugerah di Anugerah Seri Angkasa 2026

0
KUALA LUMPUR, 25 Oktober 2026 – TVS meraih tiga anugerah pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 menerusi karya animasi dan komedi tempatan, sekali gus...

CATEGORIES