KUALA LUMPUR – Nasi lemak dan roti tisu menjadi antara hidangan tempatan yang meninggalkan kesan istimewa buat pelakon dan penyanyi popular Korea Selatan, Lee Junho, sepanjang berada di Malaysia.
Junho, 36, mengakui teruja dapat mencuba sendiri keenakan makanan tempatan, terutama roti tisu yang menarik perhatiannya kerana saiz besar dan bentuknya yang menjulang tinggi.
Malah, bintang drama Typhoon Family itu menganggap pengalaman menikmati roti tisu dengan pelbagai pilihan perasa sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
“Semalam, saya berpeluang mencuba nasi lemak dan roti tisu. Kedua-duanya sangat sedap. Saya tidak tahu mengapa roti tisu dipanggil sebegitu, tetapi saiznya yang besar dan bentuknya yang tinggi benar-benar menarik perhatian saya.
Saya seronok mengoyakkan roti itu sedikit demi sedikit bermula dari bahagian atas untuk menikmatinya. Pengalaman itu agak menarik kerana saya dapat mencubanya bersama pelbagai jenis sos dan perasa,” katanya ketika ditemui pada Sesi Media Eksklusif bersama Duta Jenama Global Cuckoo, Lee Junho, di TGV Cinemas, Pavilion Bukit Jalil, di sini, petang tadi.
Junho berkata, dia turut mencuba roti tisu bersama beberapa pilihan perasa, termasuk kari, coklat dan pistachio.
“Saya suka pistachio, jadi saya mencuba roti itu dengan pistachio. Saya juga mencubanya dengan susu dan semuanya sangat sedap,” katanya.
Selain pengalaman menikmati juadah tempatan, Junho turut meluahkan rasa gembira dan berbesar hati apabila diberi peluang mengadakan persembahan di hadapan peminat Malaysia menerusi konsert Cuckootopia di Stadium Merdeka, di sini, semalam.
Junho berkata, konsert itu membawa pengalaman baharu buat dirinya kerana ia kali pertama dia menjayakan acara berkenaan, sekali gus memberinya peluang bertemu peminat yang sudah lama tidak ditemuinya.
“Sebenarnya, ini kali pertama saya menjayakan konsert Cuckootopia, jadi ia pengalaman yang menyeronokkan bagi saya.
“Saya sangat gembira kerana dapat bertemu peminat semalam. Jika diberi peluang untuk menghadiri konsert seperti ini lagi pada masa akan datang, saya pasti sangat gembira,” katanya.
Cuckootopia dianjurkan sebagai kesinambungan kepada Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 yang berlangsung semalam, dari jam 6 petang hingga tengah malam.
Acara itu menampilkan Junho selaku Duta Global Cuckoo, selain kumpulan Hujan dan penyanyi Firdhaus sebagai penghibur.
Dalam perkembangan lain, Junho turut berkongsi pengalaman menyertai program realiti Kian’s Bizarre B&B musim kedua yang disifatkannya sebagai cabaran baharu dalam perjalanan kerjayanya.
Sumber – Berita Harian





