Gabungan usaha dalam menyumbang kepada masyarakat dan memupuk tanggungjawab sosial mampu membawa hasil yang bermakna. Melalui usaha ini, pelajar dan masyarakat berpeluang untuk saling bekerjasama, menambah pengetahuan serta memahami cabaran yang dihadapi oleh pelbagai golongan dalam komuniti.
Berteraskan matlamat itu, satu inisiatif yang menggabungkan pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah diwujudkan menerusi penganjuran The Preloved Club X GSR UOW Malaysia. Program ini merupakan hasil kerjasama antara UOW Malaysia, The Preloved Club dan MediaLah.
Program ini menghimpunkan pelajar, NGO, vendor, pempengaruh dan orang ramai dalam satu platform yang memberi tumpuan kepada komuniti dan tanggungjawab sosial. Selain menjadi ruang untuk berinteraksi, program ini turut membuka peluang kepada pelajar untuk mengenali dengan lebih dekat usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak dalam membantu masyarakat.
Penglibatan 14 NGO dalam program ini turut mengukuhkan usaha mencapai matlamat tersebut. Menerusi platform ini, setiap NGO berpeluang memperkenalkan organisasi masing-masing, berkongsi aktiviti yang dijalankan serta menjelaskan misi yang diperjuangkan. Secara tidak langsung, orang ramai dapat mengenali peranan NGO dengan lebih dekat dan memahami bagaimana mereka boleh turut serta dalam usaha membantu komuniti.
NGO yang terlibat adalah seperti berikut:-
- HOST Malaysia
- Great Heart Charity Association
- Yayasan Chow Kit
- KITARAN
- UmieAktif
- MarCet
- Juara Turtle Project
- SAFM
- PKKOS
- KC Valley Animal Shelter
- Grace Home
- KittyCare Animal Association
- Soserv Welfare
- Spastic Children’s Association Of Selangor & Federal Territory
Program ini tidak hanya tertumpu kepada NGO, pelajar dan juga masyarakat awam, malah turut menjadikan selebriti dan pempengaruh sebagai sebahagian daripada tarikannya. Antara selebriti yang terlibat adalah Shiha Zikir dan juga beberapa pempengaruh seperti Marc Sadique, Zetty Adnan, Mucci, Anne Athirah, Syahida Yusra dan ramai lagi.
Sebanyak 70 vendor terdiri daripada NGO, selebriti dan pempengaruh memenuhi ruangan Auditorium Dato’ Teo Hang Sam dalam usaha mempromosikan jualan mereka di samping memperkenalkan serta mendekati masyarakat dengan lebih mendalam.
Berbalik kepada permulaan asal program ini, ia bertitik tolak daripada pasangan suami isteri yang gemar menjual barangan ‘preloved’ , dan kini membawa kepada minat itu ke peringkat yang lebih besar.
The Preloved Club X GSR UOW Malaysia ini diharapkan diteruskan pada edisi akan datang dengan lebih penglibatan dari NGO, selebriti dan juga pempengaruh.





