Wednesday, October 21, 2026
HomeHIBURAN‘Harap Ada Rezeki, Saya Teringin Berlakon Filem Aksi’ - Redza Rosli

‘Harap Ada Rezeki, Saya Teringin Berlakon Filem Aksi’ – Redza Rosli

SELEPAS sekian lama mengukuhkan nama menerusi drama televisyen, pelakon Redza Rosli menyimpan impian untuk mengembangkan kerjaya ke layar perak bagi membuktikan kemampuan lakonannya dalam naskhah lebih mencabar.

Biarpun belum berpeluang membintangi filem, pelakon berusia 34 tahun itu tidak pernah mengetepikan hasrat untuk mencuba sesuatu yang berbeza, terutama menerusi genre aksi yang disifatkan mampu memberikan dimensi baharu dalam perjalanan seninya.

Bagaimanapun, Redza mengakui jadual kerja yang padat menjadi antara kekangan untuk merealisasikan impian tersebut.

Sehubungan itu, dia berharap namanya akan menjadi pilihan penerbit untuk menjalani sesi uji bakat bagi projek filem pada masa akan datang.

“Berlakon filem sememangnya antara matlamat saya. Setakat ini, saya masih belum berpeluang, mungkin disebabkan jadual kerja yang padat sehingga tidak dapat menerima tawaran berlakon filem.

“Saya berharap suatu hari nanti, jika ada rezeki untuk menembusi layar perak, insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik.

“Mungkin ada peluang untuk produksi memanggil saya menghadiri sesi uji bakat filem atau sebagainya.

“Saya juga teringin kerana melihat rakan-rakan lain sudah berpeluang berlakon filem,” katanya ketika ditemui pada penggambaran telefilem TV3, Gerimis Rindu di sini, baru-baru ini.

Mengulas genre yang ingin diterokai sekiranya impiannya menjadi kenyataan, Redza berkata, dia tertarik untuk membintangi filem aksi bagi memberikan kelainan berbanding watak yang sering dibawakan dalam drama televisyen.

Menurutnya, pengalaman menjayakan pelbagai watak dalam drama percintaan dan konflik menjadi antara asas untuknya meneroka cabaran baharu, sekali gus memperlihatkan sisi lakonan berbeza kepada penonton.

“Genre aksi antara yang saya inginkan. Saya sudah membuktikan kemampuan menerusi drama percintaan, konflik dan sebagainya. Jadi, jika beralih ke filem, saya mahu membawa sesuatu yang berbeza.

“Penonton tentunya mahu melihat kelainan daripada apa yang biasa dipertontonkan. Tidak mungkin saya mahu melakukan perkara sama,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon itu tidak menafikan genre percintaan masih menjadi antara tawaran yang sukar diketepikan, apatah lagi memahami kecenderungan penonton terhadap naskhah sarat konflik hubungan.

Jelasnya, kisah berkaitan percintaan, kecurangan dan pergolakan hubungan masih mendapat tempat dalam kalangan penonton, sekali gus menjadikan genre berkenaan terus relevan dalam industri drama tempatan.

“Saya tidak boleh menolak begitu sahaja tawaran berlakon drama sebegitu kerana saya tahu apa yang penonton mahukan, termasuk cerita mengenai konflik cinta, kecurangan dan sebagainya,” katanya.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

IPD Seremban Penuhi Hajat Wanita Sarat Hamil Naik Kereta Peronda Polis

0
SEREMBAN - Seorang wanita yang hamil lapan bulan mengukir senyuman lebar apabila hajatnya untuk menaiki kereta peronda polis akhirnya menjadi kenyataan. Nurul Asyira Zakaria, 23,...

CATEGORIES