TARUHAN pertama pelakon, Aedy Ashraf sebagai penerbit filem menjadi apabila naskhah perdananya Tarung: Unforgiven berjaya meraih lebih RM20 juta kurang sebulan ditayangkan.
Strategi yang dipakai rumah produksinya, Alpha 47, bermula daripada perjalanan plot, hingga kolaborasi pemasaran di media sosial membuahkan hasil. Aedy berpendapat, tenaga kreatif dan buah fikir generasi muda sangat penting untuk memberikan sentuhan baharu yang segar kepada industri filem negara.
Aedy atau Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 33, percaya bakat dan kebolehan yang dimiliki penggiat seni di Malaysia dalam menyampaikan cerita sama hebatnya dengan produksi luar negara sekiranya diberikan peluang.
Oleh itu, Malaysia ketandusan ramai penerbit muda kreatif yang berani menawarkan cerita baharu dalam lambakan naskhah sedia ada.
“Malaysia ada potensi besar untuk letakkan filem kita berada sama hebat dengan negara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.
“Cuma kita kekurangan pembuat dan penerbit filem yang muda. Kalau kita ada ramai orang yang sanggup ambil cabaran mahu bercerita, filem kita boleh pergi jauh. Cuma kalau saya seorang sahaja yang buat, kita tidak akan boleh lakukannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai itu, pelakon Kahar: Kapla High Council itu cukup celik akan realiti hari ini bahawa menyedari akan faktor kewangan yang menghambat sesetengah pengkarya muda untuk meneruskan niat menghasilkan filem pertama mereka.
“Ramai orang takut untuk jadi penerbit sebab ia melibatkan banyak duit sehingga berjuta ringgit. Banyak penerbit kreatif mahu buat tapi tak berani ambil cabaran besar, jadi mereka buat filem kecil.
“Satu hal tentang filem kecil ini ialah susah sikit nak pergi jauh sebab kekangan bajet dan masa membuatkan gerak kerja kreativiti tak dapat nak tolak ke tahap maksimum. Saya harap lepas ini ramai pembuat filem muda sanggup ambil cabaran hasilkan sesuatu yang lebih besar.
“Jika ada yang terinspirasi dengan apa yang saya hasilkan, Alhamdulillah,” katanya.
Enggan terus dikaburi kejayaan Tarung: Unforgiven, Aedy tidak akan berhenti menawarkan sesuatu kepada peminat filem tempatan bahkan memberi bayangan akan terus menghasilkan naskhah yang bermain dengan emosi.
“Apa yang saya ada pada hari ini adalah sesuatu yang pernah saya bayangkan suatu ketika dahulu. Inilah yang pernah saya doakan.
“Tapi saya percaya ini bukan hasil usaha saya sahaja tapi juga doa daripada ibu, bapa, kakak serta peminat.
“Percayalah saya bekerja sangat keras untuk pastikan filem saya ditonton ramai. Saya tidak akan berhenti menikmati proses menceritakan emosi melalui filem.
Tarung: Unforgiven mengisahkan tentang Hatta (Mierul Aiman), bekas juara silat yang bersumpah tidak akan berlawan lagi selepas tidak sengaja membunuh lawannya dalam kejohanan.
Dia terpaksa kembali ke gelanggang haram dunia bawah tanah demi mencari wang untuk rawatan kakaknya, namun berdepan dendam daripada sahabat lamanya, Isa (Aedy Ashraf).
Sumber – Utusan





