KUALA LUMPUR – Pembabitan dalam pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) membuka ruang buat penyanyi dan pelakon, Mimifly, mencabar kemampuan diri, sekali gus meneroka sisi baharu dalam perjalanan seninya.
Mimifly atau nama sebenar, Shamimi Amalina Norhisham, 40, berkata, proses latihan berterusan bukan sahaja membantunya mendalami watak, malah mendidik dirinya untuk memperbaiki kelemahan dan menerima kritikan demi menghasilkan persembahan lebih berkualiti.
Tambahnya, seseorang penggiat seni perlu berani keluar daripada zon selesa, selain sentiasa terbuka untuk belajar dan memperbaiki kekurangan diri.
“Kita perlu mencabar diri untuk berkembang tanpa kehilangan identiti sendiri. Kita betulkan apa yang kurang, saling menyokong dan mengkritik diri sendiri supaya dapat menjadi lebih baik.
“Proses itu bukan sesuatu yang boleh dibuat pada saat akhir. Kita perlu berlatih, mengulang dan memberi perhatian kepada setiap perincian.
Apabila terus berlatih dan memperbaiki diri, kita akan menjadi semakin dekat dengan watak yang dibawakan,” katanya.
Mengakui tidak pernah menyangka impiannya untuk terbabit dalam PGL akan menjadi kenyataan, penyanyi yang popular dengan lagu Serumpun itu berkata, minat terhadap dunia teater sudah berputik sejak zaman persekolahan.
Justeru, peluang menjayakan PGLM dianggap cukup bermakna, apatah lagi ketika usianya kini yang disifatkan sebagai fasa kematangan dan perkembangan baharu dalam kehidupan serta kerjaya seni.
“Minat saya terhadap teater memang tidak pernah hilang. Sejak di bangku sekolah lagi, saya sudah terbabit dalam pementasan.
“Jadi, apabila mendapat peluang terbabit dalam PGL, saya anggap ia seperti impian yang menjadi kenyataan. Saya tidak sangka perjalanan seni saya membawa saya kembali kepada bidang yang sangat saya cintai.
“Orang kata, apabila memasuki usia 40 tahun, ada kematangan yang datang bersama usia itu. Saya sendiri merasakan perkara itu dan menganggap semua ini sebagai satu lagi peningkatan dalam diri.
“Mungkin orang lain melihatnya sebagai perkara biasa, tetapi bagi saya, inilah perkara paling besar yang saya miliki sekarang,” katanya penuh kesyukuran.
Mimifly berkata, pengalaman itu turut seiring dengan matlamatnya untuk menjadi pengkarya yang bukan sekadar menghasilkan lagu, malah mengembangkan kebolehan dalam bidang tarian, persembahan dan bimbingan seni.
Bagaimanapun, di sebalik komitmen terhadap kerjaya, Mimifly mengakui jadual kerja yang padat adakalanya menyebabkan urusan peribadi terpaksa diketepikan.
Sumber – Berita Harian





