Thursday, October 29, 2026
HomeHIBURANPak Nil Mahu Budayakan Ilmu Komunikasi Dalam Kalangan Masyarakat

Pak Nil Mahu Budayakan Ilmu Komunikasi Dalam Kalangan Masyarakat

KUALA LUMPUR – Kemahiran komunikasi bukan sekadar kebolehan bercakap di hadapan khalayak, sebaliknya seni menyampaikan mesej dengan berkesan, membina keyakinan dan mempengaruhi pendengar, kata pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi.

Berbekalkan pengalaman lebih empat dekad dalam industri penyiaran, Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil, mahu berkongsi kepakaran itu menerusi program pembangunan profesional, SHOW ADA KELAS — The Signature Communication Experience, yang bakal berlangsung di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 28 November ini.

Program anjuran Icon Entertainment itu dijadualkan berlangsung dari jam 3 hingga 5 petang, dengan pendekatan interaktif yang menggabungkan perkongsian ilmu, latihan praktikal dan hiburan bagi membantu peserta menguasai kemahiran komunikasi.

Aznil berkata, kekuatan seseorang komunikator bukan semata-mata terletak pada suara atau kelancaran berbicara, sebaliknya kebolehan menyusun cerita sehingga mampu menarik perhatian pendengar.

“Saya tak memukau orang dengan suara saya. Saya memukau orang dengan cerita dan cara penceritaan saya. Jadi, memang satu jam itu terasa seperti setengah jam. Penonton tidak merasakan masa berlalu begitu lama,” katanya.

Aznil berkata, penganjuran program itu turut menjadi langkah berani buatnya kerana sebelum ini, perkongsian ilmu komunikasi yang dikendalikannya lazimnya ditawarkan secara percuma kepada peserta, dengan bayaran ditanggung penganjur.

Bagaimanapun, kali ini, beliau mahu membudayakan kesedaran bahawa ilmu dan kemahiran komunikasi mempunyai nilai tersendiri yang wajar dihargai, sama seperti pengalaman menikmati hiburan.

“Ini boleh dikatakan percubaan pertama saya yang agak berani kerana sebelum ini, saya mengadakan program untuk penonton secara percuma, manakala bayaran saya ditanggung penganjur.

“Kali ini, penganjur menyerahkan kepada penonton untuk membayar bagi mendapatkan ilmu. Kadang-kadang, apabila kita mendapat ilmu secara percuma, kita mengambilnya mudah. Tetapi apabila kita membayar, kita lebih menghargainya.

“Kita sudah terbiasa membayar untuk mendengar lagu atau menonton filem. Begitu juga dengan ilmu, khususnya berkaitan pengucapan awam,” katanya.

Pengacara yang popular menerusi program hiburan seperti Akademi Fantasia (AF) itu berkata, kemahiran berkomunikasi perlu dipupuk sejak di bangku sekolah bagi membina keyakinan diri, terutama dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, pelajar perlu dibiasakan bertanya soalan, menyuarakan pandangan dan bercakap di hadapan khalayak sebagai persediaan menghadapi cabaran di universiti serta alam pekerjaan.

“Saya berasakan kita perlu menangani masalah keyakinan berkomunikasi sejak di bangku sekolah lagi. Sikap tidak mahu bertanya soalan atau bercakap di hadapan orang ramai perlu diubah sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.

“Jika tidak, sikap itu akan terbawa-bawa sehingga ke universiti dan tempat kerja,” katanya.

Mengakui usaha memperluas pendidikan komunikasi memerlukan masa panjang, Aznil berkata, perancangannya pernah terjejas susulan perubahan pendekatan selepas pertukaran kerajaan.

Beliau sebelum ini pernah berkongsi ilmu komunikasi secara percuma di universiti dan institusi pengajian tinggi, selain menganjurkan program di sekolah menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Cita-cita saya besar dan memerlukan masa yang panjang. Saya juga pernah bekerjasama dengan KPM.

“Namun, apabila berlaku pertukaran kerajaan, pendekatan dan keutamaannya turut berubah. Usaha yang saya jalankan ketika pentadbiran terdahulu terhenti, menyebabkan saya terpaksa bermula semula,” katanya.

Justeru, Aznil mahu meneruskan usaha memperluas pendidikan komunikasi menerusi pelbagai platform, termasuk sekolah, syarikat korporat dan program berbayar untuk orang awam.

Program SHOW ADA KELAS menampilkan lima modul utama, iaitu Komunikasi Bermula Dengan Keyakinan, Seni Berkomunikasi Yang Meyakinkan, Executive Presence, Storytelling Yang Berkesan dan Menjadi Individu Yang Dipilih.

Modul berkenaan merangkumi teknik mengatasi kegugupan, penggunaan bahasa badan, kawalan suara, penyusunan mesej, kemahiran pembentangan, penceritaan berkesan serta pembinaan penjenamaan diri.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata pendekatan yang menggabungkan pendidikan dan hiburan menjadi antara tarikan utama program itu, sekali gus memberi peluang kepada peserta mempelajari kemahiran komunikasi secara interaktif daripada pengamal industri berpengalaman.

Tiket ditawarkan pada harga RM288 dan RM388 dan boleh dibeli menerusi platform ticket2u.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

“Ada Kakak Pun Tak Guna…” – Elisya Sandha

0
Pelakon, Elisya Sandha menyorot perhatian netizen selepas berkongsi luahan hatinya di media sosial. Menerusi hantaran di Threads, Elisya meluahkan rasa kecewa terhadap sikap individu yang...

CATEGORIES