Thursday, October 29, 2026
HomeLUAR NEGARA200 Penumpang Kapal ‘Pelayaran Seumur’ Hidup Terkandas Di Kemboja

200 Penumpang Kapal ‘Pelayaran Seumur’ Hidup Terkandas Di Kemboja

PHNOM PENH  – Kira-kira 200 penumpang yang membayar untuk tinggal di atas sebuah kapal persiaran sambil mengelilingi dunia, secara mengejut  ditinggalkan di sebuah pelabuhan di Kemboja selepas syarikat pengurusan kehabisan wang, kata seorang pegawai semalam.

Pengendali kapal persiaran berpangkalan di Amerika Syarikat, Villa Vie Residences mengumumkan kelmarin bahawa pihaknya  ‘menggantung operasi di Kemboja’ sementara berusaha menangani  ‘peningkatan luar biasa’ kos bahan api berikutan perang Iran.

Kapal Odyssey sepanjang 200 meter itu belayar dari Ireland Utara pada Oktober 2024 untuk pelayaran berterusan di mana penumpang boleh membeli atau menyewa bilik untuk percutian atau seumur hidup.

Sesetengah penumpang menjual semua harta benda mereka kerana ingin bersara sambil belayar.

Bagaimanapun, mereka hanya diberi masa tujuh jam untuk mengemas beg dan  keluar semasa kapal itu singgah di pelabuhan Sihanoukville, Kemboja, demikian menurut Timbalan Gabenor wilayah Preah Sihanouk, Long Dimanche.

Beliau berkata, seramai 203  penumpang  dan 156 anak kapal  tiba selepas belayar  dari Thailand pada 23 Oktober lalu. Kapal itu dijadualkan meneruskan perjalanan ke Vietnam.

“Arahan secara tiba-tiba untuk turun dari kapal menyebabkan ramai pesara dan pekerja jarak jauh hilang tempat tinggal beribu-ribu kilometer dari negara asal mereka.

“Sesetengah penumpang mengambil penerbangan keluar sementara yang lain kekal di bandar Sihanoukville,”  katanya sambil menambah, Odyssey  dijadualkan mengisi bahan api dan belayar semula Jumaat ini.

Penumpang  kapal itu yang mengendalikan blog pelayaran, Randy Cassingham menulis bahawa arahan turun dari kapal menyusuli ‘masalah yang berangkai’.

Di bawah hantaran dengan tajuk bermaksud ‘Tinggalkan Kapal!’, dia berkata, pelancaran pelayaran Odyssey di Belfast telah ditangguhkan selama empat bulan, manakala kapal itu tidak pernah mencapai kapasitinya seramai 650 penghuni, dengan angka maksimum kira-kira 350 orang sahaja.

Menurutnya, Odyssey bukanlah kapal ‘mewah’ namun ‘berbaloi’  sehinggalah syarikat itu mula ‘meminta-minta wang’.

Sementara itu, Villa Vie berkata dalam kenyataannya bahawa perbelanjaan bahan api bulanan setiap kabin meningkat daripada purata AS$1,800 (RM7,323) kepada antara AS$6,000 (RM24,412) hingga AS$8,000 (RM32,550) di beberapa bahagian di Asia.

“Syarikat tidak boleh memindahkan peningkatan kos  sedemikian kepada penumpang dengan begitu sahaja. Kenaikan ini menyebabkan model operasi semasanya berada di bawah tekanan kewangan dan  sukar untuk bertahan,” kata Villa Vie.

Cassingham menuduh syarikat itu ‘langsung tidak melakukan apa-apa untuk membantu’ penumpang yang terkandas.

Villa Vie sebaliknya berkata, pihaknya  sedang ‘bekerjasama dengan penghuni untuk menyelaraskan urusan turun kapal dan mengenal pasti penempatan kediaman sementara’.

Sumber – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Gelaran Datuk Ibarat Pangkat Di Sekolah Seperti Pengawas’

0
PUTRAJAYA – Gelaran Datuk tidak pernah menjadi alasan buat penyanyi Datuk Ziana Zain untuk mengubah keperibadian, apatah lagi meninggalkan jati diri yang sudah sebati...

CATEGORIES