Sementara itu, harga minyak turun selepas melonjak ke paras tertinggi hampir enam bulan pada penghujung minggu lalu, meskipun serangan berterusan terhadap Arab Saudi menyebabkan kebimbangan terhadap bekalan terus menjadi tumpuan.
Harga tenaga yang tinggi mengukuhkan jangkaan bahawa Fed akan mengekalkan kadar faedah pada paras tinggi untuk tempoh lebih lama, sekali gus meningkatkan kos bagi pelabur memegang emas yang tidak memberikan pulangan faedah.
Dari sudut geopolitik, Arab Saudi memaklumkan bahawa lapangan terbang utamanya menyambung semula operasi di dua terminal semalam, meskipun kumpulan Houthi di Yaman yang bersekutu dengan Iran berikrar meneruskan serangan terhadap kemudahan itu, yang disifatkan mereka sebagai ‘sasaran ketenteraan’.
Pengantara dari Qatar berada di Tehran pada Ahad sebagai sebahagian daripada usaha meredakan ketegangan serantau dengan kerjasama AS, menurut seorang pegawai yang mengetahui perkembangan itu kepada Reuters.
Sentimen pengguna AS merosot sedikit menghampiri paras terendah rekod pada Oktober, apabila kenaikan harga susulan konflik di Asia Barat menjejaskan pandangan isi rumah terhadap ekonomi.
Perkembangan itu berlaku menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres yang dijangka tertumpu pada isu kos sara hidup, menurut tinjauan yang dikeluarkan pada Jumaat lalu.
Aktiviti perniagaan AS berkembang pada kadar lebih perlahan sedikit pada Oktober, namun permintaan yang kukuh membolehkan syarikat menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.
Perkembangan itu menunjukkan inflasi berpotensi meningkat lagi dan kekal tinggi secara berterusan dalam beberapa bulan akan datang.
Pasaran kini menantikan mesyuarat dasar Fed minggu ini serta data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE), iaitu petunjuk utama inflasi yang dipantau rapat oleh bank pusat itu dalam usaha mencapai sasaran inflasi dua peratus.
Peniaga kini mengambil kira kebarangkalian kira-kira sembilan peratus bahawa kadar faedah akan dinaikkan minggu ini, manakala jangkaan kenaikan kadar pada Disember kekal pada 80 peratus.
Bagi logam berharga lain, harga perak spot meningkat 0.2 peratus kepada AS$54 seauns, platinum susut 0.1 peratus kepada AS$1,549.42, manakala paladium menokok 0.4 peratus kepada AS$1,047.90.
Sumber -Reuters