SHAH ALAM – Pelakon Redza Rosli menegaskan penggiat industri lakonan dan perfileman tidak seharusnya dijadikan kambing hitam atau dipersalahkan sebagai punca gejala sosial hanya kerana menghasilkan karya yang memaparkan isu buli, keganasan dan konflik percintaan.
Redza, 34, berkata naskhah yang mengangkat isu berkenaan bertujuan membuka mata masyarakat terhadap realiti kehidupan, selain menyampaikan mesej dan pengajaran supaya penonton lebih peka terhadap kesan perbuatan negatif.
“Produksi yang mengangkat cerita berkaitan isu sosial sebenarnya mahu kita memahami bahawa perkara itu memang berlaku dalam masyarakat.
“Jika kita lihat isu semasa, macam-macam kes berlaku, termasuk pembunuhan akibat putus cinta, selain buli yang berakhir dengan kematian. Sebenarnya, kita mahu membuka mata masyarakat terhadap perkara seperti ini.
“Jika dilihat dari sudut positif, penonton akan memahami bahawa cerita yang dihasilkan bukan sekadar rekaan, sebaliknya turut mencerminkan realiti yang berlaku di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada penggambaran telefilem TV3, Gerimis Rindu, di sini, baru-baru ini.
Redza berkata, masyarakat seharusnya menilai mesej yang ingin disampaikan menerusi sesebuah karya, bukannya membuat kesimpulan berdasarkan isu yang dipaparkan semata-mata.
“Jalan cerita itu yang perlu kita lihat. Tidak kira kisah buli, percintaan atau apa sahaja, semuanya boleh mempunyai kaitan dengan isu yang berlaku dalam kehidupan sebenar.
“Contohnya, kes pembunuhan yang berpunca daripada dendam, cinta ditolak atau putus cinta. Perkara seperti itu memang wujud dalam masyarakat.
“Jadi, kita perlu melihatnya secara positif dan membuka mata masyarakat yang menonton drama Melayu bahawa isu berkenaan benar-benar berlaku. Pada masa sama, kita perlu sedar tentang kesannya supaya perkara seperti itu dapat dielakkan,” katanya.
Pelakon itu berkata, pengakhiran sesebuah cerita juga memainkan peranan penting dalam membantu penonton memahami akibat sesuatu tindakan, sekali gus mengambil iktibar daripada konflik yang dipaparkan.
“Daripada pengakhiran itulah, penonton boleh menilai sama ada sesuatu tindakan itu membawa kesan baik atau sebaliknya, selain mengambil nilai moral yang disampaikan,” katanya.
Mengulas tanggapan bahawa kebanyakan drama bertemakan percintaan mempunyai jalan cerita hampir sama, Redza berkata, setiap karya tetap mempunyai keunikan tersendiri dari segi pendekatan, perkembangan cerita dan mesej yang ingin disampaikan.
“Apa yang penting ialah mesej yang mahu disampaikan. Kadang-kadang, ada yang menganggap drama cinta yang ditonton seolah-olah sama sahaja dengan pelakon dan jalan cerita yang lebih kurang serupa.
“Namun, jika dilihat dengan lebih mendalam, setiap cerita mempunyai perbezaan tersendiri. Tajuknya berbeza, begitu juga jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan.
“Jika ada pelakon yang sama muncul dalam beberapa drama dalam tempoh berdekatan, itu mungkin hanya kebetulan. Apa yang penting ialah cara kita menyampaikan cerita dan mesejnya kepada penonton,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Redza kini menjalani penggambaran telefilem Gerimis Rindu arahan Wan Cromox yang bakal disiarkan menerusi TV3 tidak lama lagi.
Sumber – Berita Harian





