KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas dan selebriti, Muhammad Haris Mohd. Ismail atau PU Riz mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun media sosial, Nurazian Abdul Talib yang didakwa memfitnahnya dengan melabelnya sebagai penunggang agama.
Peguam yang mewakili PU Riz, Faizal Rahman berkata, hantaran individu terbabit mengandungi tohmahan serius yang berpotensi menjejaskan reputasi anak guamnya, lebih-lebih lagi Haris mempunyai kelayakan akademik serta pentauliahan agama yang sah.
“Istilah penunggang agama ini adalah label yang sangat berat. Jika disebut dalam konteks filem, mungkin tiada isu, tetapi apabila dilontarkan kepada individu yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan memiliki tauliah daripada pejabat mufti, ia merupakan satu fitnah yang amat nyata.
“Sehingga kini, hantaran tersebut mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 9.2 juta dalam tempoh yang sangat singkat.
“Perkara ini perlu disekat segera bagi mengelakkan reputasi anak guam saya terus terjejas,” katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.
Menurut Faizal, pihaknya telah menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) kepada individu terbabit semalam dengan memberikan tempoh 48 jam untuk memadam hantaran berkenaan serta membuat permohonan maaf secara terbuka serta tidak lagi mengungkit mengenainya.
Katanya, pihaknya turut menuntut pampasan sebanyak RM1 juta sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah atau menyalahgunakan algoritma media sosial demi kepentingan peribadi.
“Kita sudah menyerahkan LOD semalam dan memberikan tempoh 48 jam untuk individu berkenaan membuat permohonan maaf. Mungkin ada yang beranggapan tempoh itu singkat, tetapi jumlah tontonan hantaran berkenaan meningkat mendadak sehingga 9.2 juta dalam masa yang singkat.
“Sehingga kini, kami masih belum menerima sebarang maklum balas. Jika tuntutan itu gagal dipenuhi, kami akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan di mahkamah.
“Individu ini dikesan mengambil kesempatan terhadap algoritma isu semasa untuk meraih perhatian. Sebelum ini, hantarannya hanya mendapat sekitar dua hingga lima tanda suka, namun apabila nama PU Riz dipetik, jumlah tontonan melonjak sehingga jutaan.
“Malah, individu itu turut mengaitkan anak guam saya dengan isu pihak lain yang langsung tidak berkaitan serta menyebarkan maklumat tidak benar kononnya acara di Johor baru-baru ini merupakan majlis agama berbayar, sedangkan ia hanyalah sesi ramah mesra (meet and greet),” katanya.
Dalam sidang media itu, Faizal turut memaparkan empat keping gambar yang tidak berkenaan dimuat naik oleh individu berkenaan menerusi hantaran yang didakwa memfitnah PU Riz.
Sementara itu, PU Riz yang turut hadir pada sidang media berkenaan menunjukkan dokumen asal kelayakan pendidikannya, termasuk ijazah dalam pengajian agama daripada Open University Malaysia (OUM) serta sijil pentauliahan mengajar agama yang diperoleh dari Wilayah Persekutuan, Perlis, Kelantan dan Sarawak.
Terdahulu, pembatalan sebuah acara anjuran Nunha di Johor mencetuskan kekecohan di media sosial apabila timbul dakwaan dan salah faham bahawa sesi ramah mesra (meet and greet) berkenaan merupakan program agama.
Susulan itu, PU Riz menjadi sasaran kecaman warganet apabila didakwa tidak mempunyai kelayakan untuk mengajar agama, sekali gus dilabel sebagai penunggang agama.
Sumber – UTUSAN





