KUALA LUMPUR – Di sebalik ‘kemelut dalaman’ yang sedang dihadapi Faisal Halim namun pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Peter Cklamovski percaya situasi itu tidak akan menjejaskan tumpuannya bersama Harimau Malaya.
Skuad kebangsaan akan mengharungi dua aksi persahabatan bermula menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok sebelum berdepan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin ini.
Cklamovski menegaskan pemain sayap lincah itu memiliki kekuatan mental yang kuat sekali gus beliau optimis pemain itu mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan ketika menyarung jersi Malaysia.
“Daripada perspektif bola sepak, ia bukanlah satu isu dan dia berada dalam keadaan yang terbaik. Ia adalah isu peribadi antara dia dan keluarganya tetapi kita sentiasa memberi sokongan padanya.
“Kami sentiasa bersamanya dan mendoakan yang terbaik untuknya. Saya tahu Mickey adalah inspirasi kepada negara dan saya percaya dia akan meneruskan perkara itu.

“Dia berlatih dengan sangat keras dan bersedia untuk memberikan persembahan yang terbaik untuk negara,” kata Cklamovski pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan mengenai kemelut rumah tangga Faisal dan isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril yang mana dia dikatakan memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor, semalam.
Syazwani kemudian tampil bersuara mengenai kemelut rumah tangganya dengan bintang bola sepak kebangsaan itu.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Nur Syazwani memaklumkan keputusan yang dibuatnya bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia terpaksa dilakukan selepas pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mempertahankan rumah tangganya.
Dalam masa sama, Cklamovski memberi bayangan pemain itu berpeluang untuk diturunkan pada aksi menentang Singapura dan juga Palestin.
“Berdasarkan kepada apa yang ditunjukkan pada sesi latihan, sudah pastinya ada peluang untuk dia diturunkan.
“Saya akan membuat keputusan esok dan anda akan melihat barisan pemain itu nanti,” katanya.
Sumber – Berita Harian





