KUALA LUMPUR: Lantang menyuarakan solidariti terhadap Palestin, penyanyi, Yuna tidak hanya kehilangan ribuan pengikut di media sosial, malah terpaksa berdepan kerugian besar apabila tawaran persembahan luar negara turut terhenti.
Situasi itu mula dirasai Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Ma Zara’ai selepas berani tampil berkongsi kandungan mengenai kekejaman di Gaza, sekali gus mengundang pelbagai reaksi.
“Saya tahu ini sukar, tetapi saya ada di sini bersama kamu (Palestin). Saya lihat ramai yang mempunyai jutaan pengikut dan platform besar memilih untuk berdiam diri, sedangkan kita semua sedang menyaksikan Gaza dimusnahkan di depan mata.
“Sejak saya mula berkongsi kandungan mengenai tembikai (simbol solidariti Palestin), saya kehilangan pekerjaan, malah ada yang saya tolak sendiri.
“Saya hilang kawan, tidak lagi menerima undangan persembahan di luar negara dan kehilangan lebih 4,000 pengikut, Peminat saya sendiri tidak dapat melihat hantaran saya,” luah Yuna menerusi hantaran di Instagram Story (IGs).
Meskipun berdepan tekanan dan kehilangan, penyanyi lagu Cinta Sempurna itu tetap memilih untuk kekal positif dan tabah menghadapi ujian.
“Ada hari saya rasa sangat teruk, ada hari seolah masih ada harapan. Kadang-kadang terasa sukar apabila orang yang saya bekerjasama berpura-pura tiada apa berlaku, seolah genosid itu bukan realiti.
“Ada hari saya menangis, tetapi setiap hari jiwa saya tetap ada. Dengan jiwa yang masih kuat, saya tahu semuanya akan baik-baik saja.
“Rahsianya adalah terus bernafas kerana inilah yang mereka mahu iaitu mereka mahu kita rasa putus asa. Apapun perjuangan harus diteruskan,” tegas Yuna.
Sumber – Berita Harian





