Wednesday, June 24, 2026
HomeSUKANRonaldo Belum Berkarat Bantu Portugal Belasah Uzbekistan 5-0

Ronaldo Belum Berkarat Bantu Portugal Belasah Uzbekistan 5-0

HOUSTON – Cristiano Ronaldo menutup mulut pengkritiknya apabila berjaya meledak dua gol selepas membantu Portugal berpesta gol membelasah Uzbekistan 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan K Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.

Kemenangan itu bukan sahaja menghidupkan semula kempen Portugal selepas sekadar seri pada perlawanan pembukaan, malah menyaksikan Ronaldo melakar sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia.

Bintang berusia 41 tahun itu sebelum ini menerima kritikan pedas susulan aksi hambar ketika Portugal hanya mampu melakar keputusan seri 1-1 ketika berdepan pasukan Republik Demokratik Congo selain gagal menjaringkan gol dalam 10 penampilan berturut-turut di kejohanan utama.

Namun, Ronaldo membalas segala keraguan dengan cara terbaik apabila membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi rembatan deras yang gagal diselamatkan penjaga gol Uzbekistan, Abduvohid Nematov.

Portugal terus menguasai permainan dan menggandakan kelebihan menerusi sepakan percuma menarik Nuno Mendes pada minit ke-17.

Ronaldo kemudian menceriakan lagi penyokong Portugal apabila menyempurnakan hantaran Bruno Fernandes pada minit ke-39 untuk meletakkan pasukannya selesa mendahului 3-0 sebelum rehat.

Memasuki babak kedua, Uzbekistan cuba bangkit mencari gol, namun disiplin tinggi barisan pertahanan Portugal menyukarkan usaha mereka untuk menembusi kubu lawan.

Malang buat Uzbekistan apabila pertahanan mereka, Abdukodir Khusanov tertolak bola ke gawang sendiri pada minit ke-60 sebelum pemain gantian, Rafael Leao melengkapkan kemenangan bergaya Portugal menerusi jaringan kelima pada minit ke-87.

Kemenangan besar itu meletakkan Portugal di landasan terbaik untuk mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik, dengan skuad kendalian Roberto Martinez bakal menentang Colombia pada aksi terakhir kumpulan, manakala Uzbekistan berdepan Republik Demokratik Congo.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Bella Astillah Ajak Solat Hajat Untuk Syed Saddiq Esok

0
PETALING JAYA – Pelakon Bella Astillah mengajak orang ramai menunaikan solat hajat esok bagi mendoakan prosiding keputusan rayuan akhir kes mahkamah melibatkan Ahli Parlimen...

CATEGORIES