Tuesday, August 18, 2026
HomeHIBURANFilem Aksi Tanpa Ada Emosi, Saya Pun Akan Rasa Bosan – Shukri...

Filem Aksi Tanpa Ada Emosi, Saya Pun Akan Rasa Bosan – Shukri Yahaya

Ramai sebenarnya yang berasa geram menonton watak Khuzairi yang terlalu menggilai Mia Adriana dalam drama 7 Hari Mencintaiku yang ditayangkan di TV3 dahulu. Sebenarnya, itulah watak yang mengangkat nama Shukri atau Mohd Shukri Yahaya, 38, dalam melakonkan babak drama.

Dalam filem aksi pula, selepas berjaya membawa watak sebagai Fadlan dalam Blood Brothers: Bara Naga, kini Shukri sahut pula cabaran membintangi filem aksi, Chelot, arahan Adrian Teh.

Sejujurnya, Shukri mengakui dia kurang berminat dengan filem aksi yang sekadar menampilkan adegan bertarung. Bagi dirinya, keutamaan sentiasa diberikan kepada karya yang mengutamakan emosi dan air mata.

Namun, Shukri berkata, penglibatan dalam filem ini menjadi platform terbaik untuk dia membuktikan fleksibiliti bakat di layar perak. Kepercayaan pengarah dan dorongan rakan pelakon seperti Sharnaaz Ahmad menjadi perangsang untuk dia memberikan yang terbaik.

“Bila tengok filem Chelot ini, Adrian ada bertanya kepada Sharnaaz dan pihak produksi tentang kesesuaian saya untuk membawakan watak dalam filem ini. Peluang untuk pelakon drama mendapat filem aksi sebegini selalunya tidak banyak sebab kebanyakan pengarah filem takut untuk teroka potensi pelakon TV.

“Sebenarnya kalau diberi peluang, pelakon drama ini boleh berkembang lebih jauh lagi dan saya langsung tidak pernah rasa kecewa. Pengarah filem mungkin risau untuk ambil pelakon TV.

“Pengarah cakap kepada saya, ‘Kau kena buktikan yang kau boleh berlakon filem’, dan dari situ saya mula untuk buktikan orang lain tidak salah menilai,” katanya.

Bagi memastikan aksinya nampak kemas dan meyakinkan, Shukri menjalani latihan sebelum penggambaran bermula.

“Pagi-pagi, saya membuat latihan kardio sendiri, kemudian petang pula saya mengambil kelas khas untuk belajar teknik yang betul. Dari situ, saya belajar cara mengendalikan senjata, belajar formasi, dan mengambil masa selama dua bulan untuk perincian tersebut.

“Selain latihan fizikal, saya juga kena menjaga pemakanan dan diet supaya bentuk badan sesuai dengan watak. Transisi karakter daripada drama ke filem aksi memang mengambil masa, tetapi itu proses yang saya perlu hargai,” ujarnya.

Katanya, mengenai filem aksi, Shukri mempunyai cita rasa terhadap sesuatu watak yang dibawakan. Dia lebih menggemari naskhah yang mengimbangi babak pertarungan dengan kekuatan jalan cerita dan lontaran emosi yang mendalam.

Nyawa sesebuah watak aksi terletak pada emosi yang mampu menyentuh perasaan penonton. Dia mahu lakonannya memberi impak, bukan sekadar bersandarkan aksi pertarungan semata-mata.

“Kalau saya menonton cerita aksi yang sebentar-sebentar berlawan tanpa ada emosi, saya sendiri akan rasa bosan. Saya suka ada drama dan emosi dalam watak itu, bukannya sekadar berlawan atau membuka baju semata-mata.

“Sebab itulah saya setuju mengambil watak ini, sebab di sebalik babak aksi, ada pengolahan drama yang sangat kuat. Saya mahu penonton merasai apa yang karakter itu rasa dan tidak fokus pada pergaduhan sahaja,” katanya.

Pengalaman bertahun-tahun di set penggambaran drama TV menjadi kekuatan Shukri dalam mengasah emosi lakonannya. Jadual drama yang padat mengajarnya cara menukar emosi dengan pantas mengikut kehendak babak skrip.

“Banyak benda yang saya belajar di set drama sebenarnya, sebab dalam satu hari kita perlu jayakan 16 hingga 17 babak yang sentiasa berubah-ubah. Babak pertama tiba-tiba kita  perlu menangis, babak kedua marah, kemudian kena sedih balik.

“Drama adalah tempat pembelajaran terbaik saya untuk mengasah emosi lakonan. Jadi, apabila masuk ke set filem tertentu yang memerlukan emosi berat,  Alhamdulillah benda itu tidak terasa terlalu susah buat saya,” katanya.

Sumber – Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Bukan Sekadar Ziarah, Mindef Pastikan Bantuan Veteran ATM Sampai Sasaran

0
ALOR GAJAH - Kementerian Pertahanan (Mindef) terus memperkasakan Program Peduli Veteran MADANI (PVM) sebagai mekanisme mengenal pasti keperluan sebenar setiap warga veteran Angkatan Tentera...

CATEGORIES