Monday, August 17, 2026
HomeBERITAKBS Perkasa Inovasi Belia Ke Arah Pengkomersialan, 12 MOU Industri Pacu TVET...

KBS Perkasa Inovasi Belia Ke Arah Pengkomersialan, 12 MOU Industri Pacu TVET 2.0 Di Jelajah TVET ILKBS Zon Timur Tahun 2026

Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari hari ini telah merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Innovation Development Through Educational Activities (iDEA’26) dan Jelajah TVET ILKBS Zon Timur 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Razak, Temerloh, Pahang.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBrs. Puan Chan Hong Jin dan Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB), KBS, YBrs. Encik Mohd Sukri Ismail.

KBS terus memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara menerusi pemeteraian 12 Memorandum Persefahaman (MoU) antara rakan strategik industri dengan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS). 

Kerjasama strategik ini diharap dapat memperkukuh pemindahan teknologi, memperluas peluang latihan industri, meningkatkan perkongsian kepakaran serta memperkasa pembangunan kurikulum yang lebih responsif terhadap keperluan pasaran pekerjaan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET.

Langkah ini selaras dengan aspirasi TVET 2.0 yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri sempena Sambutan Hari TVET Negara 2026 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat dalam bidang teknologi kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan transisi tenaga bagi melahirkan tenaga mahir yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri, malah berupaya menjadi pencipta penyelesaian, peneraju inovasi dan pemacu ekonomi masa hadapan.

KBS berharap budaya inovasi dalam kalangan pelajar TVET terus diperkasakan bagi melahirkan lebih banyak produk berpotensi tinggi untuk dikomersialkan serta memberi nilai tambah kepada industri, masyarakat dan ekonomi negara, bukan sekadar untuk penyertaan dalam pertandingan inovasi.

Sejak diperkenalkan, pertandingan iDEA telah menghimpunkan sebanyak 2,407 projek inovasi. Bagi edisi 2026, sebanyak 532 projek telah berjaya dipertandingkan, sekali gus mencerminkan perkembangan positif budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar TVET di seluruh negara.

Bagi memastikan hasil inovasi tidak terhenti di peringkat prototaip, KBS menyeru semua institusi pendidikan dan latihan agar memperkukuh pengurusan harta intelek sejak peringkat awal pembangunan projek. Langkah ini penting bagi melindungi hasil inovasi pelajar, meningkatkan potensi pengkomersialan serta menggalakkan penyertaan dalam Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Selain pertandingan inovasi, Jelajah TVET ILKBS Zon Timur turut memberi fokus kepada pemadanan bakat dengan industri melalui pelbagai inisiatif, termasuk sesi dialog bersama industri, temu duga terbuka melalui Program MYFutureJobs dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), taklimat kerjaya serta penyertaan syarikat daripada sektor strategik seperti minyak dan gas, aeroangkasa, automotif, pembuatan, maritim dan pelancongan.

KBS yakin sinergi erat antara kerajaan, institusi latihan dan industri akan terus memperkukuh ekosistem TVET negara, sekali gus melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi. Untuk maklumat lanjut berkaitan siaran media ini, sila hubungi Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Belia dan Sukan di talian 03-8871 3100 atau e-mel ukk@kbs.gov.my

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai Program iDEA’26 dan Jelajah TVET ILKBS Zon Timur 2026 boleh diajukan kepada Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia melalui talian 03-8871 3682 atau e-mel liyana.haminudin@kbs.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Ini Mungkin Tahun Terakhir Saya Dengan Bola Sepak’ – Ronaldo

0
BERLIN – Ikon bola sepak Cristiano Ronaldo, 41, memberi bayangan paling jelas setakat ini mengenai bila beliau akan bersara, lapor Agensi Akhbar Jerman. “Ini mungkin...

CATEGORIES