PETALING JAYA – Pelakon Fatiya Latiff enggan tunduk dengan desakan segelintir netizen yang menyarankannya menjalani rawatan kecantikan di Korea Selatan, sebaliknya menegaskan bersyukur dengan rupa paras dimiliki.
Fatiya atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff, 38, berkata dia tidak berhasrat melakukan sebarang prosedur bagi mengubah penampilan wajahnya meskipun menerima pelbagai pandangan.
“Saya dah bersyukur dengan apa yang saya ada. Saya tak nak buat apa-apa dah kat muka saya. Biarlah orang nak kata apa pun,” katanya membalas komen seorang pengguna dalam Threads.
Terdahulu, seorang netizen mencadangkan agar pelakon terbabit menjalani rawatan pembentukan semula bentuk wajah di luar negara bagi meningkatkan keyakinan diri.
“Fatiya, kalau pergi Korea Selatan buat ‘fat grafting’ dan ‘contour’ muka dia semula, rasanya dah tak berdosa.
“Bukan ubah apa-apa, hanya untuk keyakinan diri. Kumpul duit atau pun pinjam duit mak ayah. Labur sedikit duit untuk anak,” tulis individu tersebut.
Bagaimanapun, pendirian Fatiya memilih menerima diri seadanya tanpa perlu mendapatkan rawatan estetik meraih sokongan ramai.
“Masya-Allah, betul tu. Sayangi diri sendiri. Kita cantik dan lawa di mata orang yang tepat dan tengok kita lawa dan cantik. Apa yang penting adalah kecantikan perangai dan adab kita,” tulis netizen.
Sumber – KOSMO! ONLINE





