Wednesday, June 24, 2026
HomeHIBURANSiti Bakal Cipta Sejarah, Artis Malaysia Pertama Penuhkan SNBJ 3 Kali

Siti Bakal Cipta Sejarah, Artis Malaysia Pertama Penuhkan SNBJ 3 Kali

PETALING JAYA – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal mencatat sejarah sebagai artis Malaysia pertama memenuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil (kini TM Stadium Nasional) dengan pengumuman konsert Tradisional Gema Bumantara di lokasi ikonik itu pada 17 Oktober depan.

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, berkata pengumuman tersebut menjadi satu detik istimewa buat dirinya selepas sekian lama merancang untuk meraikan muzik tradisional dalam skala besar.

“Sebenarnya hari ini saya mahu kongsikan satu berita istimewa. Saya ingin umumkan konsert Tradisional Gema Bumantara yang akan berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 17 Oktober.

“Harap semua gembira dan apabila tiket mula dijual nanti, jangan lupa dapatkan. Kita raikan bersama irama tradisional menerusi Gema Bumantara,” katanya dalam Instagram.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi siaran langsung dalam Instagram miliknya, malah penyanyi tersohor itu turut menghiburkan peminat dengan alunan lagu Joget Berhibur, sekali gus menghangatkan lagi keterujaan khalayak.

Dalam perkongsian sama, pelantun lagu Jerat Percintaan itu turut menyelitkan pantun indah, seolah-olah menganyam nostalgia lagu-lagu tradisional yang menjadi nadi perjalanan seninya.

“Kain Cindai bersulam sembilan, indah bagai sahmura berwarna, hati yang rindu kita pertemukan, TM Stadium Nasional bergema Bumantara.

“Jangan lepaskan peluang untuk kita sama-sama meraikan irama warisan kita.

“Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, selamanya menjadi nadi dalam suara tradisi zaman berzaman,” ujarnya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat meluahkan rasa teruja dan tidak sabar untuk kembali menyaksikan kehebatan vokal Siti di pentas ikonik negara.

“Ini konsert yang ditunggu-tunggu! Irama tradisional memang kena dengan TokTi.

“Tak sabar nak beli tiket, mesti meriah macam konsert sebelum ini.

“Siti memang ratu, apa sahaja dibawa pasti menjadi,” tulis netizen.

Terdahulu, pada 10 Januari lalu, Siti mencipta sejarah apabila konsert Legacy 30 Siti Nurhalizaberjaya menghimpunkan kira-kira 65,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus membuktikan magisnya masih ampuh menawan hati peminat pelbagai generasi.

Kali pertama Siti mengadakan persembahan di SNBJ adalah pada konsert finale Siti Nurhaliza Fantasia Tour tahun 2004 yang merupakan antara konsert terbesar nasional dengan lebih 70,000 penonton.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Dana Akaun Amanah Palestin Diurus Telus, Diaudit Secara Berkala – Mohamad

0
KUALA LUMPUR – Dakwaan penularan di media sosial bahawa dana Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) disalurkan sewenang-wenangnya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disifatkan...

CATEGORIES