Wednesday, November 25, 2026
HomeBERITAKerajaan Pertimbang Namakan Jalan Di Ibu Negara A. Samad Said

Kerajaan Pertimbang Namakan Jalan Di Ibu Negara A. Samad Said

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk menamakan satu daripada jalan di ibu negara dengan nama Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Seri A. Samad Said.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata cadangan itu dikemukakan oleh tokoh wartawan Datuk A. Kadir Jasin sebagai penghormatan terhadap sumbangan Allahyarham dalam bidang kesusasteraan dan kewartawanan.

“Jadi, nanti insya-Allah kita akan teliti beberapa cadangan ini … tetapi, bagi saya yang paling penting ialah kita menghayati karya-karya dan Allahyarham juga seorang pejuang hak rakyat dan hal ini tidak harus kita lupakan,” katanya kepada pemberita di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar, di sini hari ini.

Selain itu, Fahmi berkata terdapat kewajaran untuk mempertimbangkan penubuhan sebuah galeri bagi mengenang jasa dan mempamerkan karya-karya tokoh sastera berkenaan.

“Karya-karya agung Allahyarham wajar kita lihat kaedah untuk dipopularkan semula. Karya beliau masih popular, namun perlu diperkenalkan kepada generasi muda, khususnya Gen Z dan Gen Alpha,” katanya.

Fahmi berkata beliau turut berbincang dengan anak Allahyarham tentang keperluan untuk keluarga meneliti aspek hak cipta serta usaha mengekalkan karya penulisan Allahyarham.

A. Samad menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.

Terdahulu, ratusan jemaah terdiri daripada ahli keluarga, rakan penggiat seni dan orang ramai menunaikan solat jenazah di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang dipimpin oleh Imam 1 masjid berkenaan Muhammad Abid Ayub.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, A. Kadir serta penyanyi dan komposer terkenal Datuk M. Nasir, dan jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini.

Sumber – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Ella Bakal Perkenal Lagu Baharu Selepas Hampir 10 Tahun

0
KUALA LUMPUR, 23 November 2026 – Ratu Rock negara, Ella bakal mempersembahkan karya terbaharunya buat pertama kali secara langsung menerusi konsert Majlis Tertinggi Rockqueen...

CATEGORIES