KUALA LUMPUR, 23 November 2026 – Ratu Rock negara, Ella bakal mempersembahkan karya terbaharunya buat pertama kali secara langsung menerusi konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup yang dijadual berlangsung pada 5 Disember ini di Unifi Arena, Bukit Jalil.
Perkara itu dikongsikan Ella menerusi sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini ketika berkongsi perkembangan persiapan konsert berkenaan bersama peminat.
Menariknya, karya terbaharu itu merupakan hasil nukilan Saari Amri dengan lirik tulisan Azam Dungun. Ia juga menandakan kemunculan karya baharu Ella selepas hampir 10 tahun.
Persembahan sulung lagu tersebut di pentas konsert berkenaan pastinya menjadi antara momen istimewa buat peminat yang berpeluang mendengarnya secara langsung.
Selain karya baharu, Ella turut menyenaraikan beberapa lagu yang jarang dipersembahkan dalam senarai persembahannya, antaranya Menyanyilah La La La, Puisi Hamba, Bendera Damai, Kabus dan Sirna serta Puteri Kota.
Konsert itu turut menampilkan beberapa artis jemputan istimewa, termasuk Yuna, Datuk Ziana Zain dan Shima yang bakal bergandingan dengan Ella pada malam berkenaan.
Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen. Tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi penganjur di www.hitmanlive.com.
Sumber – Siaran media Hitman Solutions





