Tuesday, November 24, 2026
HomeBERITAPenambahan Perkhidmatan MyGOV Malaysia: Lebih Banyak Urusan Kerajaan, Kini Di Hujung Jari...

Penambahan Perkhidmatan MyGOV Malaysia: Lebih Banyak Urusan Kerajaan, Kini Di Hujung Jari Rakyat

PUTRAJAYA, 24 November 2026 – Kementerian Digital melalui GovTech Malaysia terus memperkukuh usaha pendigitalan perkhidmatan awam menerusi pelancaran kemas kini aplikasi MyGOV Malaysia versi 2.1.4 yang memperkenalkan beberapa penambahbaikan ciri dan fungsi baharu bagi menyediakan pengalaman penggunaan yang lebih mudah, lancar dan mesra rakyat.

Antara penambahbaikan utama dalam versi terkini ini ialah penyediaan perkhidmatan pembaharuan pasport melalui aplikasi MyGOV Malaysia, yang membolehkan rakyat menguruskan permohonan secara digital dengan lebih mudah dan pantas.

Menerusi kemudahan ini, pengguna boleh mengisi permohonan pembaharuan pasport, membuat pembayaran secara dalam talian serta memilih pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan pengambilan pasport.

Bagi fasa awal pelaksanaan, kemudahan pengambilan pasport ini hanya disediakan di Pejabat Imigresen Shaftsbury, Putrajaya sahaja. Lokasi pengambilan lain akan diperluas secara berperingkat oleh JIM bagi meningkatkan akses dan kemudahan kepada rakyat di seluruh negara.

Selain itu, fungsi MyNotifikasi turut dipertingkatkan dengan keupayaan penyampaian notifikasi yang lebih bersasar dan diperibadikan mengikut keperluan pengguna. Penambahbaikan ini membolehkan rakyat menerima maklumat dan hebahan terkini secara terus melalui aplikasi MyGOV Malaysia, termasuk pengumuman, program, inisiatif serta makluman penting daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. Ini sekali gus memastikan rakyat tidak terlepas maklumat berkaitan perkhidmatan dan inisiatif kerajaan yang relevan dengan mereka.

MyGOV Malaysia turut memperkenalkan fungsi semakan lokasi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Fungsi ini memudahkan orang ramai mengenal pasti lokasi pusat NADI berhampiran bagi mendapatkan akses kepada pelbagai kemudahan dan program yang disediakan secara percuma, termasuk kemudahan internet, pemeriksaan kesihatan serta program Tuisyen Rakyat. Inisiatif ini turut menyokong usaha memperluas akses digital, meningkatkan literasi digital dan memperkukuh peluang pembelajaran dalam kalangan komuniti setempat.

Kementerian Digital menggalakkan orang ramai untuk mengemas kini aplikasi MyGOV Malaysia kepada versi terkini melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery bagi menikmati ciri-ciri serta penambahbaikan yang disediakan.

Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital melalui kerjasama rentas kementerian dan agensi demi merealisasikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, bersepadu dan berpaksikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia menuju ke arah Negara AI 2030.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Turkiye Belum Sedia Terima 10,000 Pelarian Rohingya Dari Malaysia

0
KUALA LUMPUR – Kerajaan Turkiye belum bersedia mempertimbangkan penerimaan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata, perkara itu...

CATEGORIES