Sunday, January 18, 2026
HomeSUKANMan United Tetapkan Harga Onana RM173 Juta

Man United Tetapkan Harga Onana RM173 Juta

LONDON: Manchester United sudah menetapkan tanda harga sebanyak £30 juta (RM173 juta) buat Andre Onana, namun penjaga gol Cameroon itu kini dilihat semakin berkemungkinan untuk kekal di Old Trafford musim panas ini.

Mail Sport mendedahkan itulah harga yang diberitahu kepada AS Monaco apabila kelab Perancis itu membuat pertanyaan untuk mendapatkan khidmat Onana hujung bulan lalu.

Sumber dari Perancis memaklumkan Monaco akan terus memantau situasi itu, namun mereka tidak mungkin sanggup membayar sebanyak itu buat penjaga gol berusia 29 tahun itu, yang dibeli United dari Inter Milan dengan harga £47.2 juta (RM272 juta) dua tahun lalu.

Kelab pendatang baharu Liga Pro Saudi, SC Neom turut mengikuti perkembangan Onana, tetapi akhirnya memilih untuk menandatangani penjaga gol antarabangsa Poland, Marcin Bulka dari Nice beberapa hari lalu.

Onana dilaporkan berhasrat untuk kekal dan sumber kelab menyatakan kemungkinan besar dia akan terus menjadi penjaga gol utama United selepas kembali menjalani latihan di Carrington semalam.

Pengurus United, Ruben Amorim dan jurulatih penjaga gol, Jorge Vital dilaporkan berpuas hati dengan bekas pemain Ajax itu meskipun terdapat spekulasi perpindahan membabitkan penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez.

Namun memandangkan United perlu berhemah dalam perbelanjaan untuk memenuhi permintaan Amorim dalam pasaran perpindahan musim panas ini, hampir semua pemain boleh dijual pada harga yang sesuai dan tawaran sekitar £30 juta untuk Onana akan dipertimbangkan.

Penjaga gol bukanlah posisi keutamaan bagi Amorim dalam jendela perpindahan kali ini.

Sebaliknya beliau lebih cenderung untuk menyasarkan seorang penyerang, pemain tengah bertahan dan pertahanan tengah, sekiranya pemain Brentford, Bryan Mbeumo menjadi pemain nombor 10 kedua yang menyertai Old Trafford selepas Matheus Cunha dibawa masuk dari Wolves.

United kini berharap dapat menjana dana besar dengan melepaskan beberapa pemain seperti Marcus Rashford, Alejandro Garnacho, Jadon Sancho, Antony dan Tyrell Malacia, yang semuanya diminta tidak menghadiri latihan hingga skuad memulakan jelajah pramusim ke Amerika Syarikat akhir bulan ini.

Meskipun tidak mungkin kelima-lima pemain itu akan dijual, United setidak-tidaknya boleh mengurangkan beban gaji dengan menghantar mereka beraksi di kelab lain secara pinjaman.

Sumber – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Ekonomi Malaysia Diunjur Bertumbuh 5.7% Pada Suku Keempat 2025

0
PETALING JAYA – Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.7 peratus pada suku tahun keempat 2025, berdasarkan anggaran awalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diterbitkan...

CATEGORIES