Tuesday, September 1, 2026
HomeSUKANAzizulhasni Sah Teruskan Misi LA28, KBS Akui Kelompangan Komunikasi

Azizulhasni Sah Teruskan Misi LA28, KBS Akui Kelompangan Komunikasi

PUTRAJAYA – Kelompangan komunikasi antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Datuk Azizulhasni Awang dipercayai menjadi punca tercetusnya polemik mengenai masa depan jaguh berbasikal trek negara itu bagi misi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, mengakui terdapat sedikit salah faham dalam komunikasi berhubung keputusan untuk meneruskan khidmat Azizulhasni bagi misi LA28.

Menurutnya, keputusan untuk memberi laluan kepada Azizulhasni sudah dibuat pada 13 Ogos lalu, namun surat tawaran hanya dikeluarkan kelmarin, sekali gus mewujudkan ruang yang menyebabkan isu berkenaan tercetus.

“Saya boleh mengakui, saya mengambil tanggungjawab mungkin ada sedikit salah faham dari segi komunikasi yang sudah pun kita selesaikan secara dalaman bersama dengan MSN, ISN dan semua yang kita bincang supaya selepas ini komunikasi itu perlu lebih baik lagi.

“Maknanya 13 haribulan arahan saya sudah pun dikeluarkan, kemudian surat tawaran itu dikeluarkan pada dua hari lepas. Mungkin ada kelompangan waktu tersebut yang menyebabkan beberapa perkara dan isu ini berbangkit,” katanya dalam sidang media selepas sesi taklimat MSN berkenaan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Proses Kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 hari ini.

Taufiq berkata, pihaknya tidak mahu polemik berkenaan berlarutan dan memilih untuk mengadakan perbincangan dalaman bagi mencari jalan tengah tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Katanya, pada 4 Ogos lalu, Azizulhasni sendiri menyerahkan keputusan mengenai langkah seterusnya ke LA28 kepada KBS dan MSN selepas ditanya mengenai masa depannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Susulan itu, Taufiq berkata, beliau mengarahkan MSN pada 13 Ogos untuk menilai perkara berkenaan sebelum keputusan dicapai bagi membolehkan Azizulhasni meneruskan misi mewakili negara.

Lebih penting, beliau mengesahkan Azizulhasni sudah menerima tawaran itu selepas KBS menerima surat balasan daripada pelumba berkenaan semalam.

“Beliau bersetuju untuk meneruskan khidmat bakti untuk negara Malaysia tercinta.

“Sebab itu kita perlu duduk bersama mencari jalan tengah, mencari jalan yang terbaik. Matlamat utama kita adalah untuk negara Malaysia. Saya rasa perkara itu dah selesai,” katanya.

Taufiq pada masa sama menegaskan isu berkenaan bukan berpunca daripada permintaan atau tuntutan peribadi Azizulhasni, sebaliknya beliau melihatnya sebagai proses yang memerlukan komunikasi lebih baik antara semua pihak.

“Saya tidak melihat perkara ini adalah suatu proses. Kita sudah kenal pasti di manakah kesilapannya dan saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, baik pihak MSN, Azizulhasni dan sebagainya.

“Fokus sekarang adalah bukan mencari kesilapan dan kesalahan, fokus sekarang adalah untuk kita bergerak ke depan demi negara kita,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Rindu Jadi Pengacara, Zizan Razak Dedah Pernah Takut Naik Pentas

0
BUKIT JALIL: Kembali ke dunia pengacaraan, pelawak dan pelakon, Zizan Razak mendedahkan dirinya pernah melalui fasa takut untuk naik ke pentas sehingga terpaksa menolak...

CATEGORIES