TEMERLOH – Lori tangki simen dipercayai menjadi punca kemalangan ngeri membabitkan 11 buah kenderaan yang meragut empat nyawa di Kilometer 110.3, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1), di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10.55 malam itu, lori tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain yang bergerak perlahan menghala ke arah ke Pantai Timur.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati kesemua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dalam perjalanan dari arah yang sama.
“Setibanya di lokasi kejadian, lori tangki simen itu hilang kawalan sebelum melanggar beberapa buah kenderaan lain yang sedang bergerak perlahan di atas jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV iaitu lelaki berusia 18 tahun parah, manakala bapanya yang berusia 55 tahun meninggal dunia di lokasi berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Azry, nahas itu turut mengorbankan pemandu kereta Proton S70, Muhammad Nazatul Nazmi, 32, bersama isteri, Nur Atiqah Sofiya Mohd. Kazwan, 32, dan anak lelaki mereka yang berusia empat tahun.
Pemandu lori tangki yang berusia 52 tahun pula mengalami kecederaan parah.
Mayat empat mangsa termasuk tiga beranak itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk dibedah siasat dan mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber – KOSMO! ONLINE





