BUKIT JALIL: Kembali ke dunia pengacaraan, pelawak dan pelakon, Zizan Razak mendedahkan dirinya pernah melalui fasa takut untuk naik ke pentas sehingga terpaksa menolak banyak tawaran mengacara.
Menurut Zizan, dia tidak dapat memastikan sama ada keadaan yang dialaminya ketika itu adalah ‘anxiety’ atau kebimbangan melampau, namun mengakui berasa tidak selesa apabila berada di tempat yang dipenuhi orang ramai.
“Saya tidak ingat bila kali terakhir saya mengacara. Tetapi memang sudah agak lama. Saya mengambil inisiatif untuk memberikan fokus kepada filem. Sebab itu banyak program pengacaraan yang saya tolak.
“Pernah ada satu ketika, saya sendiri tidak tahu sama ada saya mengalami anxiety atau apa, tetapi saya takut untuk naik ke pentas. Orang tidak tahu mengenai perkara ini.
“Mungkin kerana saya terlalu banyak berlakon sehingga emosi itu terbawa-bawa. Apabila saya pergi ke tempat yang ramai orang atau menghadiri acara, saya mula rasa tidak selesa.
“Saya sendiri tidak tahu apa perasaan itu. Akhirnya, saya rasa lebih baik saya tidak pergi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Borneo Rising, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Zizan tidak menolak kemungkinan keadaan emosi yang dialaminya mempunyai kaitan dengan tuntutan kerja dan kecenderungannya mendalami watak ketika berlakon.
“Saya pun tidak tahu sama ada itu krisis dipertengahan usia atau disebabkan kerja. Apabila saya bekerja dalam penggambaran, saya akan berikan 100, 110 malah 120 peratus.
“Kadang-kadang selepas balik pun saya masih teringat mengenai kerja. Saya jadi tertekan dan sedikit sensitif. Mungkin saya terlalu risau mengenai lakonan dan kerja saya.
“Apabila terlalu mendalami sesuatu watak, kadang-kadang ia berubah daripada sekadar ‘berlakon’ kepada seperti benar-benar ‘berlaku’. Itu agak menakutkan,” jelasnya.
Meskipun sering dilihat sebagai figura seni yang sentiasa ceria pada pandangan umum, pelakon filem Polis Evo itu enggan kondisinya pada ketika itu menjadi perhatian.
“Takkanlah kita mahu tunjuk sisi gelap atau perkara yang tidak baik kepada masyarakat kerana kita selebriti. Kita juga menjadi ikon kepada sesetengah orang.
“Bukan bermaksud kita mahu berpura-pura atau hanya mahu tunjuk perkara yang baik. Tetapi ada perkara yang sesuai dikongsi dan ada yang tidak.
Selepas beberapa tahun memperlahankan kerjaya pengacaraan, Zizan mengakui teruja untuk mengendalikan program realiti Borneo Rising bersama Sherry Alhadad pada 6 September ini.
“Sudah lama tidak mengacara dan saya pun rindu. Saya mahu cuba mengacara semula. Sudah lama saya tidak keluar dan saya juga tidak pernah bergandingan dengan Sherry Alhadad.
“Jadi, saya rasa mungkin kami boleh memberikan kelainan dan warna kepada televisyen. Sherry seorang pengacara yang sangat bijak. Dia sentiasa peka dengan keadaan dan sangat menghiburkan
Gementar juga kerana konsep program ini mempunyai harapan yang tinggi. Saya percaya program ini akan menjadi viral kerana hala tujunya berbeza daripada program-program sebelum ini,” ujarnya.
Selain Sherry dan Zizan, Borneo Rising juga akan diserikan dengan barisan penyanyi seperti Marsha Milan, Shila Amzah dan Noh Salleh sebagai juri tetap.
Program realiti yang direka khusus untuk mencungkil bakat luar biasa rakyat Malaysia, khususnya anak-anak Borneo akan disiarkan setiap Ahad jam 9 malam menerusi Astro Ria (saluran 104) dan TV Okey (saluran 146), serta boleh distrim secara On Demand melalui Astro GO, Sooka dan RTMKlik.
Sumber – Utusan





