KUALA LUMPUR – Dialek Sabah yang pekat bukan sahaja menjadi identiti pelakon Tracie Sinidol, malah pernah mengundang sindiran ketika dia mengembangkan kerjaya dalam industri lakonan tanah air.
Bagaimanapun, pelakon berusia 25 tahun itu memilih untuk tidak terlalu mengambil hati, sebaliknya menilai setiap teguran secara rasional, terutama jika mampu membantunya memperbaiki kelemahan diri.
Tracie berkata, dia mengamalkan prinsip mengambil perkara yang bermanfaat daripada kritikan dan mengetepikan kata-kata yang melampaui batas.
“Pernah juga saya berdepan dengan sindiran, tetapi saya ambil yang jernih dan buang yang keruh. Kalau teguran itu benar-benar membantu memperbaiki diri, saya ambil. Kalau dirasakan sudah keterlaluan, biarkan sahaja.
“Bagi saya, mudah sahaja. Kadang-kadang, ia bergantung kepada bagaimana kita bertindak balas terhadap sesuatu perkara,” katanya.
Mengulas cabaran membawakan watak yang memerlukan penggunaan bahasa Melayu standard dalam dialog harian, Tracie berkata, pihak produksi lazimnya berbincang terlebih dahulu mengenai keupayaannya memenuhi keperluan watak.
Katanya, perbincangan itu membolehkan kedua-dua pihak memahami kekangan masing-masing sebelum bersetuju meneruskan sesuatu projek.
“Biasanya, pihak produksi akan bertanya. Kalau benar-benar boleh melakukannya, atau mungkin mereka beri tempoh supaya saya boleh memperbaikinya, barulah kita teruskan.
“Mereka biasanya akan bercakap secara terus terang. Saya suka pendekatan begitu. Mereka akan beritahu sama ada saya boleh menyampaikan apa yang mereka mahukan.
“Jadi, sebenarnya kita bertemu di tengah-tengah. Mereka memahami kekurangan saya, manakala saya pula berusaha memenuhi apa yang mereka perlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Tracie berkata, dia kini tidak mahu terlalu memikirkan pandangan negatif kerana menyedari reaksi berlebihan terhadap sesuatu perkara boleh memberi kesan kepada dirinya sendiri.
“Sekarang ini, dalam kehidupan dan urusan kerja saya, saya cuma mahukan ketenangan. Jadi, saya tidak terlalu mengambil peduli.
“Kadang-kadang, apabila difikirkan semula, cara kita bertindak balas terhadap sesuatu perkara sebenarnya memberi pengaruh yang sangat besar kepada diri sendiri.
“Kalau kita bertindak balas secara berlebihan, kesannya lebih banyak merosakkan diri sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, Tracie tidak menafikan kepentingan teguran kerana komen negatif juga boleh membantu seseorang mengenal pasti kekurangan dan memperbaiki diri.
Katanya, seseorang tidak seharusnya hanya menerima pujian, sebaliknya perlu terbuka menilai kritikan yang membina.
“Tidak bagus juga kalau kita hanya mengambil perkara positif. Kadang-kadang, kita perlu melihat perkara negatif supaya sedar bahawa kita masih mempunyai kekurangan.
“Daripada apa yang orang katakan, kita boleh gunakan teguran itu untuk memperbaiki kekurangan diri. Itu sahaja,” katanya.
Tracie mula mengembangkan kerjaya seni selepas menjuarai program pencarian bakat Dewi Remaja edisi 2021/2022.
Anak jati Sabah itupernah dinobatkan sebagai juara pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau Tambunan 2021 sempena sambutan Pesta Kaamatan peringkat Tambunan.
Sumber – Berita Harian





