Wednesday, August 26, 2026
HomePOLITIKPemulihan Ekosistem FELDA Selamat Legasi Generasi Peneroka

Pemulihan Ekosistem FELDA Selamat Legasi Generasi Peneroka

Bangi – Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan barisan pengurus FELDA menerusi program Serumpun sehaluan Pengurus FELDA 2026 pada 21 Ogos lalu memperlihatkan pendekatan jelas dalam memperkukuhkan pengurusan organisasi itu.

Masalah FELDA tidak boleh lagi dilihat secara terpisah antara pengurusan tertinggi, pengurus di lapangan, peneroka dan kerajaan. Sebaliknya, seluruh ekosistem FELDA perlu dipulihkan secara menyeluruh.

FELDA bukan agensi biasa. Sejak penubuhannya, institusi ini menjadi salah satu instrumen pembangunan luar bandar terpenting negara. Ia membuka peluang pemilikan tanah, meningkatkan taraf hidup masyarakat desa dan membentuk komuniti baharu kemudiannya melahirkan generasi profesional, usahawan dan pemimpin.

Hari ini, dengan ratusan rancangan FELDA di seluruh negara, nasib peneroka dan generasi baharu kekal mempunyai kepentingan besar kepada pembangunan ekonomi dan sosial Malaysia.

Dalam ucapannya, Anwar secara terbuka mengakui FELDA menanggung masalah legasi berat akibat keputusan dan kelemahan pengurusan terdahulu.

Beliau mahu pengurus FELDA memahami beban sedang ditanggung institusi itu supaya mereka dapat menjelaskan keadaan sebenar kepada peneroka dan tidak terpengaruh dengan gambaran masalah itu kecil atau sudah selesai.

Antara contoh paling besar dibangkitkan ialah pelaburan FELDA dalam Eagle High Plantations di Indonesia. Menurut Anwar, masalah berkaitan pelaburan berkenaan kini masih berdepan proses perundangan pada peringkat tertinggi di Indonesia.

Elak FELDA alami kerugian lebih besar

Sekiranya tidak ditangani dengan baik, FELDA berdepan kemungkinan kerugian sekitar RM2.5 bilion sedangkan jumlah mungkin dapat diperoleh semula hanyalah sekitar RM200 juta.

Apa yang lebih penting, Perdana Menteri mendedahkan beliau menulis kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, meminta pemimpin republik itu memberikan perhatian terhadap permasalahan berkenaan.

Tindakan berkenaan memperlihatkan usaha menyelesaikan masalah legasi FELDA tidak dibiarkan kepada pengurusan agensi, peguam atau pegawai kerajaan, sebaliknya turut dibawa Perdana Menteri ke peringkat hubungan antara pemimpin kedua-dua negara.

Namun begitu, Anwar juga berhati-hati tidak meletakkan kesalahan masalah legasi itu di bahu pengurus FELDA di lapangan atau peneroka.

Pengurus di Pahang, Johor atau negeri lain tidak mempunyai kaitan dengan keputusan pelaburan dibuat pada peringkat tertinggi, tetapi mereka akhirnya terpaksa berdepan kesan dan persepsi daripada kegagalan berkenaan.

Sebaliknya, mesej beliau jelas, iaitu pengurus perlu memahami bagaimana keputusan pada peringkat tertinggi boleh memberi kesan kepada keseluruhan institusi.

Pemahaman itu penting supaya mereka bukan sahaja menjadi pentadbir, tetapi penghubung yang berkesan kepada masyarakat peneroka.

Komitmen kepada FELDA juga tidak terhenti pada soal menyiasat kesilapan lalu. Anwar memberi perhatian langsung kepada kebajikan mereka yang mengurus institusi berkenaan pada peringkat akar umbi.

Beliau menegaskan keperluan mempercepat pembaikan dan pembangunan perumahan pengurus serta kakitangan FELDA dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM450 juta.

Sesi dialog itu juga memperlihatkan kesediaan Perdana Menteri mendengar masalah secara langsung daripada pengurus FELDA di lapangan.

Apabila seorang pengurus FELDA membangkitkan isu supaya peneroka FELDA kembali diberi akses kepada insentif tanam semula bagi mengurangkan kos tanam semula sawit, Anwar meminta tempoh dua minggu supaya perkara itu diteliti bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kewangan serta pengurusan FELDA sebelum keputusan dibuat.

Begitu juga apabila seorang lagi pengurus membangkitkan kos menangani serangan ulat pemakan daun pada kelapa sawit, menurutnya boleh mencecah RM950 bagi satu pusingan rawatan dan kadangkala memerlukan sehingga tiga pusingan.

Anwar bersetuju perkara itu perlu diteliti, malah mengaitkannya dengan keperluan negara meningkatkan semula pengeluaran getah asli tempatan ketika Malaysia kini terpaksa mengimport getah bernilai berbilion ringgit setahun.

Seorang lagi pengurus membangkitkan kekangan pemilikan tanah, kebenaran merancang dan penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri yang boleh melambatkan pelaksanaan projek perumahan berkenaan.

Anwar menyatakan isu berkenaan akan dibawa ke mesyuaratnya bersama Menteri-Menteri Besar, Premier dan Ketua Menteri, termasuk isu kelulusan tanah dan bekalan air.

Sekiranya perlu, beliau bersedia menulis lebih awal kepada kerajaan negeri bagi mempercepat proses berkenaan.

Isu penyelarasan antara institusi pula dibangkitkan seorang pengurus mencadangkan supaya hubungan antara FELDA dan FGV diselaraskan dengan lebih baik dalam aspek pelaburan, operasi, tadbir urus dan tatakelola bagi menghasilkan nilai lebih besar kepada peneroka.

Permohonan baiki jalan diteliti

Beliau turut memohon peruntukan bagi membaiki jalan pertanian di kawasan ladang. Anwar meminta supaya implikasi kos dan peraturan berkaitan diteliti dalam tempoh dua minggu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Seorang pengurus dari Sabah membangkitkan nasib generasi baharu FELDA di negeri itu, dengan memohon supaya program perumahan generasi baharu dilaksanakan di Semenanjung turut diperluaskan ke Sabah.

Pengurus terbabit turut meminta campur tangan kerajaan dalam isu peraturan tanah negeri yang berbeza berkaitan cadangan pembinaan dua rumah dalam satu tapak.

Anwar menyatakan kesediaannya menghubungi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bagi mendapatkan kerjasama kerajaan negeri.

Keseluruhan dialog ini menunjukkan pemulihan FELDA tidak boleh bergantung kepada satu agensi semata-mata. Sebagaimana ditegaskan Anwar, pendekatan rentas kementerian penting supaya FELDA tidak bergerak secara terasing, sebaliknya memperoleh manfaat daripada keseluruhan jentera kerajaan.

FELDA mesti menjadi sebahagian daripada keseluruhan kekuatan kerajaan, bukan sebuah ‘pulau’ terasing.

Akhirnya, ukuran kepada komitmen kerajaan terhadap FELDA terletak pada tiga perkara, iaitu keberanian membersihkan masalah legasi, kesediaan mendengar masalah akar umbi dan keupayaan memastikan keputusan dilaksanakan dengan cepat.

Itulah tuntutan selari dengan amanah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim terhadap ketelusan dan tindakan tegas.

FELDA terlalu penting kepada negara untuk terus dibebani kesilapan masa lalu. Memulihkannya bermakna bukan sahaja menjaga sebuah institusi, tetapi mempertahankan satu warisan pembangunan negara dan memastikan peneroka serta generasi FELDA terus mempunyai tempat bermaruah dalam masa depan Malaysia.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Bapa, Anak Lelaki Maut Terperangkap Dalam Kebakaran Rumah – Bomba

0
KUALA NERUS - Dua beranak ditemukan maut selepas kediaman mereka di Kampung Tok Jembal , di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi. Dalam kejadian...

CATEGORIES