KUALA NERUS – Dua beranak ditemukan maut selepas kediaman mereka di Kampung Tok Jembal , di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa masing-masing berusia 40 tahun dan anak lelakinya berusia sembilan tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.
“Pasukan polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan pentadbiran Balai Polis Gong Badak diarahkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan tiba kira-kira jam 4.10 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah dengan kira-kira 70 peratus struktur terbakar,” katanya.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 6.10 pagi.
“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus dan Kuala Terengganu turut berada di lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman,” katanya.
Katanya, seramai 16 anggota polis dan bomba terbabit dalam operasi berkenaan.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II Azmi Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.49 pagi sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
“Setibanya di lokasi pada jam 2.58 pagi, didapati sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 40 x 50 kaki (185.81 meter persegi) terbakar 70 peratus.
“Maklumat awal mendapati terdapat dua mangsa terperangkap di dalam rumah iaitu lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki, manakala seorang wanita dewasa berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati usaha mengeluarkan mangsa yang berada di tingkat atas masih dijalankan.
Anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa menggunakan kerangka besi dan tangga untuk mengeluarkan mangsa selepas tangga dalam rumah berkenaan dikatakan hangus.
Sumber – Berita Harian





