Petaling Jaya – Pengambaran supertele seram Bisikan Pontianak meninggalkan pengalaman menakutkan buat nadia Brian apabila pelakon itu mendakwa dirinya benar benar di rasuk ketika masih dalam karektor lakonannya.
Lebih mengerikan, kejadian itu turut disaksikan Datuk Remy Ishak yang memegang watak Arfan, sekali gus memberikan pengalaman luar biasa buat kedua-dua pelakon berkenaan sepanjang penggambaran naskhah arahan Faizul Rashid itu.
Nadia, 34, berkata kejadian berkenaan berlaku ketika dia sedang menjayakan babak kerasukan dan kesannya masih dirasai sehingga kini.
“Memang saya dirasuk, tetapi kalau boleh saya tak nak ingat pun apa yang berlaku sebab ia macam pascatrauma.
“Sampai hari ini saya masih tertanya-tanya apa yang berlaku, sama ada ia datang daripada minda separa sedar atau sebaliknya,” katanya ditemui pada pelancaran supertele berkenaan di sini, baru-baru ini.
Menurut Nadia, kejadian itu hanya berlaku dalam tempoh kurang lima minit, namun cukup untuk membuatkannya terganggu dan memerlukan masa beberapa jam untuk kembali tenang sebelum meneruskan penggambaran.
“Saya jadi sangat ‘down’ ketika itu dan memang tak nak teruskan penggambaran. Produksi beri masa hampir tiga atau empat jam untuk kami berehat.
“Saya rasa nak balik kerana terlalu gementar, takut dan trauma,” katanya.
Nadia berkata, dia juga tidak sanggup memandu pulang sendirian selepas kejadian berkenaan, sebaliknya meminta rakannya datang mengambilnya di lokasi penggambaran.
Bagaimanapun, pengalaman itu tidak membuatkan Nadia serik untuk menerima tawaran dalam genre seram kerana menganggapnya sebahagian daripada cabaran dalam kerjaya lakonan.
“Saya tak serik. Mungkin saya tak akan serik sebab itu salah satu rezeki apabila orang nampak Nadia boleh buat cerita seram.
“Cuma untuk tempoh satu atau dua bulan ini mungkin ada sedikit trauma. Kalau ditawarkan, saya akan ambil juga kerana sebagai anak seni kita kena buat apa sahaja,” katanya.
Nadia berkata, lokasi penggambaran turut membantu membina suasana seram apabila produksi memilih sebuah kediaman yang dipenuhi pelbagai barangan koleksi lama.
“Rumah itu sebenarnya tempat pengumpul barang antik. Ada banyak lukisan, piano, kerusi serta tanduk binatang.
“Hari pertama masuk pun saya sudah rasa sesuatu yang berbeza dengan suasana dan aura di tempat itu,” katanya.
Walaupun melalui pengalaman yang tidak dijangka, Nadia menegaskan kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menerima cabaran baharu dalam lakonan.
“Setakat ini pengalaman itu taklah buatkan saya sampai jadi lemah semangat atau cepat takut dan tak mahu pergi bekerja.
“Mungkin itu sebahagian daripada karakter. Saya memang sudah berada dalam dunia karakter itu,” katanya.
Sementara itu, Remy yang menyaksikan kejadian berkenaan berkata, dia cuba kekal tenang ketika membantu Nadia.

“Saya yang membantu Nadia ketika dia dirasuk, walaupun agak terkejut apabila melihat dia tiba-tiba begitu.
“Bagi saya, apa yang penting kena kekal tenang,” katanya.
Remy turut mengakui terbuka untuk meneroka pelbagai karya dan tidak melihat sesuatu genre sebagai batasan dalam pemilihan watak.
“Saya akan cuba untuk menerima setiap karya yang diberikan. Dari segi keseraman, saya faham idea pengarah dalam mengeksplorasi cerita seram kerana versi seram setiap orang itu berbeza,” katanya.
Menurut Remy, tahap keseraman yang dirasakan seseorang turut bergantung kepada pengalaman dan perspektif masing-masing terhadap genre berkenaan.
“Setiap karya mempunyai tahap keseraman yang berbeza. Saya juga pernah lakonkan naskhah lebih seram daripada ini.
“Jadi bagi saya, idea setiap orang itu perlu saya hargai,” katanya.
Dalam pada itu, Remy mengakui watak Arfan memberikan peluang kepadanya meneroka sisi lakonan yang jarang ditampilkan sebelum ini.
“Saya tak banyak juga penglibatan dalam babak untuk cerita ini. Dari segi kelainan pun tak banyak.
“Saya sendiri jarang melakonkan watak antagonis, jadi ini adalah percubaan kedua saya,” katanya.
Bisikan Pontianak mengisahkan sebuah keluarga yang terikat dengan rahsia lama akibat perjanjian dengan makhluk ghaib yang diwarisi turun-temurun.
Kisah bermula apabila sebuah kampung terpencil mula diganggu kejadian misteri termasuk bunyi tangisan pada waktu malam, kematian penuh tanda tanya serta kemunculan kelibat pontianak yang menghantui penduduk kampung.
Bisikan Pontianak bakal menemui penonton menerusi Unifi TV Original di saluran DEGUP mulai 31 Ogos ini.
Sumber – Berita Harian





