Friday, June 19, 2026
HomeLUAR NEGARAKapal Tangki Belayar Bebas Di Selat Hormuz

Kapal Tangki Belayar Bebas Di Selat Hormuz

WASHINGTON – Amerika Syarikat(AS) menarik balik sekatan ke atas pelabuhan Iran semalam, menyaksikan kapal-kapal  tangki mula bergerak bebas melalui Selat Hormuz setelah berbulan-bulan tidak dapat menggunakan laluan kritikal tersebut, lapor laman berita Jakarta Globe semalam.

Beberapa jam kemudian, Pemimpin Agung Ayatollah Mojtaba Khamenei menyokong rundingan langsung dengan AS dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh media rasmi Iran. Ia adalah reaksi pertama Khamenei terhadap perjanjian yang dicapai antara Iran dan AS untuk menamatkan permusuhan.

“Jelas sekali bahawa rundingan bersemuka yang akan diadakan pada masa hadapan tidak bermaksud menerima pendapat musuh,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden AS,  JD Vance mengumumkan beliau mungkin menangguhkan lawatan ke Switzerland yang dirancang hari ini. Lawatan itu bagi membantu memulakan perbincangan mengenai pusingan rundingan seterusnya, yang berpotensi lebih kritikal, antara kedua-dua belah pihak.

Garis masa yang kini tidak menentu boleh menimbulkan persoalan baharu dan menjadikannya lebih sukar bagi pentadbiran Trump untuk mempromosikan perjanjian yang dikritik oleh banyak pihak  di AS  termasuk beberapa ahli Kongres Parti Republikan, sebagai terlalu memihak kepada Tehran.

“Rancangan kami adalah untuk pergi ke Switzerland. Saya tidak tahu dengan tepat bila,” kata Vance semasa taklimat dengan wartawan di White House apabila ditanya mengenai jadual tersebut.

“Saya fikir mungkin hujung minggu ini, tetapi saya tidak pasti,” tambahnya.

Pengumuman Vance dibuat sehari selepas Trump menandatangani perjanjian damai dengan Iran sambil makan malam bersama  Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Istana Versailles, Paris. Perjanjian itu berkuat kuasa serta-merta dan melanjutkan gencatan senjata sambil memberikan setiap pihak 60 hari untuk merangka perjanjian yang lebih luas mengenai isu-isu yang lebih besar.

Trump berkata perjanjian itu akan mengelakkan tekanan berterusan terhadap ekonomi AS selepas perang menyebabkan harga minyak melambung tinggi, menjadikan pasaran kewangan gelisah dan mencetuskan inflasi.

Sumber – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Satu Kepuasan, Ramai Jadi Detektif Rungkai Konflik GBGTH’

0
PETALING JAYA – Aktor Beto Kusyairy mendedahkan naskhah lakonannya, Good Boys Go To Heaven (GBGTH) membuatkan ramai individu berani tampil berkongsi pengalaman menjadi mangsa...

CATEGORIES