PETALING JAYA – Pelakon Sharnaaz Ahmad mengakui pernah melalui fasa kemurungan ketika berdepan proses perceraian, namun memilih menjadikan pengalaman pahit itu sebagai sumber kekuatan untuk terus bangkit sehingga ke hari ini.
Ujar Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 41, ketika itu dia terlalu larut dalam kesedihan dan tekanan, malah belum memahami sepenuhnya perkara dilaluinya sebagai depresi.
“Ketika itu saya sedang melalui proses perceraian. Saya sangat tertekan dan boleh katakan berada dalam keadaan murung, tetapi pada masa tersebut saya sendiri tidak faham apa itu depresi.
“Kalau hendak dikatakan saya merintih dalam kesedihan dan berdepan tekanan, memang sangat teruk. Namun, pada masa sama saya percaya Allah itu adil. Setiap ujian pasti hadir bersama sesuatu sebagai hadiah.
“Hadiah itu apabila buat pertama kalinya saya dapat menghasilkan filem impian pada ketika itu. Dalam masa sama, saya menerima surat perceraian,” katanya dalam TikTok.
Tambah bintang filem Magik Rompak itu, pengalaman pahit berkenaan akhirnya menjadi sumber kekuatan apabila segala emosi serta kesedihan diterapkan ke dalam karakter dilakonkannya.
Tegasnya, pengalaman tersebut membuktikan ujian tidak semestinya hadir untuk menjatuhkan seseorang, malah boleh menjadi jalan kepada pencapaian lebih besar.
“Tengoklah, kalau Tuhan turunkan penyakit, Dia pasti sediakan penawar. Pada saya, salah satu penawar itu ialah kerja.
“Apabila saya ambil kemurungan tersebut dan terapkan ke dalam watak filem, perkara itu menjadi antara faktor membantu menjayakan filem berkenaan sehingga mampu mencatat kutipan RM58 juta.
“Kalau anda rasa Tuhan sedang menguji pada titik paling rendah dalam hidup, ambillah keadaan itu sebagai pembakar semangat untuk mencipta kejayaan baharu. Jadikan titik terendah itu bahan bakar untuk mencapai sesuatu lebih besar,” ujarnya.
Perkongsiaan duda satu anak itu mengundang pelbagai reaksi netizen apabila rata-rata memuji sikapnya selepas melalui perceraian, terutama hubungan baik masih terjalin bersama bekas isteri, Noor Nabila.
Malah, ada netizen menyifatkan kematangan kedua-duanya dalam menguruskan hubungan selepas berpisah sebagai contoh terbaik demi kepentingan anak, selain tidak menjadikan kisah rumah tangga sebagai medan untuk saling menjatuhkan.
Untuk rekod, Sharnaaz mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Noor Nabila pada Mac 2017 sebelum disahkan bercerai pada Julai 2020.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Jebat Jayden, kini berusia lapan tahun.
Sumber – KOSMO! ONLINE





