Wednesday, August 12, 2026
HomeBERITAMITRA Menyalurkan RM6.7 Juta, Perkasa Pendidikan Dan Ekonomi Masyarakat India

MITRA Menyalurkan RM6.7 Juta, Perkasa Pendidikan Dan Ekonomi Masyarakat India

PUTRAJAYA, 11 Ogos 2026 – Kerajaan MADANI terus memperkukuh agenda pembangunan sosioekonomi masyarakat India dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6.7 juta berjaya disalurkan untuk melaksanakan tiga inisiatif utama Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), iaitu Program Tuisyen MADANI, Uyarvu MADANI dan Dharma MADANI yang akan memberi manfaat secara langsung kepada pelajar, usahawan dan rumah ibadat Hindu di seluruh negara.

Majlis Penyampaian Geran Program Tuisyen MADANI, Uyarvu MADANI dan Dharma MADANI 2026 yang dianjurkan oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan di Dewan Kalamandapam, Brickfields, Kuala Lumpur.

Bagi Program Tuisyen MADANI 2026, sebanyak 28 pusat tuisyen telah dipilih untuk melaksanakan program di tujuh buah negeri, melibatkan 2,343 orang pelajar SPM dan STPM dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.63 juta. Program yang akan dilaksanakan selama lima bulan bermula Ogos hingga Disember 2026 ini menyediakan kelas tuisyen percuma secara berstruktur bagi meningkatkan pencapaian akademik, mengurangkan jurang pendidikan serta meringankan beban kewangan keluarga.

Melalui Program Geran Usahawan India B40/M40 (Uyarvu MADANI) Siri I Tahun 2026, seramai 128 usahawan telah dipilih untuk menerima geran berjumlah lebih RM3.05 juta di bawah kategori Micro, Growth dan High. Program ini bertujuan membantu usahawan meningkatkan kapasiti operasi, memperkukuh daya saing dan memperluaskan pasaran, sekaligus menyumbang kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana masyarakat India.

Majlis turut menyaksikan penyampaian geran Program Dharma MADANI Siri 4 kepada 52 rumah ibadat Hindu melibatkan peruntukan sebanyak RM1.04 juta. Secara keseluruhannya, sehingga kini Kerajaan telah meluluskan RM13.52 juta kepada 676 rumah ibadat Hindu di seluruh negara melalui pelaksanaan Program Dharma MADANI. Bantuan ini akan menyokong pelaksanaan kelas kebudayaan untuk pelajar serta pembangunan pusat sosial komuniti, yang menyediakan ruang bagi aktiviti pembelajaran, kebudayaan dan program kemasyarakatan bagi komuniti setempat.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan menegaskan bahawa pembangunan masyarakat India memerlukan pendekatan yang holistik dan mampan. Kerajaan MADANI komited memastikan setiap lapisan masyarakat India mendapat akses kepada peluang pendidikan yang berkualiti, sokongan keusahawanan yang berimpak tinggi serta bantuan kepada institusi masyarakat yang memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti. Ketiga-tiga inisiatif ini membuktikan bahawa Kerajaan bukan sahaja memberi bantuan kewangan, malah melabur dalam pembangunan modal insan, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Pelaksanaan Program Tuisyen MADANI, Uyarvu MADANI dan Dharma MADANI adalah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina masyarakat yang lebih inklusif, berdaya saing dan sejahtera melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan ekonomi serta pengukuhan institusi masyarakat secara mampan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

’30 Minit Lambat Tak Mengapa, Tapi Kalau Satu Dua Jam?’ –...

0
PETALING JAYA – Penerbit Datuk A. Aida tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas dengan terus menyekat mana-mana selebriti yang mempunyai masalah disiplin untuk bekerja di...

CATEGORIES