Tuesday, August 11, 2026
HomeBERITAMyGOV Malaysia Melangkah Ke Era Baharu Dengan Agentic AI

MyGOV Malaysia Melangkah Ke Era Baharu Dengan Agentic AI

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2026Kementerian Digital terus memperkukuh agenda transformasi digital sektor awam dengan meneroka penerapan Agentic Artificial Intelligence (Agentic AI) dalam aplikasi MyGOV Malaysia, sebagai langkah strategik ke arah merealisasikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pintar, proaktif, responsif dan berpusatkan rakyat.

Agentic AI merupakan evolusi dalam penggunaan kecerdasan buatan yang berupaya meningkatkan cara rakyat berinteraksi dengan perkhidmatan digital kerajaan secara lebih pintar dan proaktif. Berbeza dengan AI konvensional yang lazimnya memberikan respons berdasarkan arahan pengguna, Agentic AI berupaya memahami konteks, merancang tindakan yang bersesuaian serta membantu melaksanakan tugasan merentasi pelbagai perkhidmatan digital, tertakluk kepada kebenaran, tadbir urus dan kawalan yang ditetapkan. Pendekatan secara bertanggungjawab ini mengambil kira aspek keselamatan, privasi data, ketepatan maklumat, tadbir urus AI, ketelusan serta kawalan manusia berdasarkan Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam.

Melalui pendekatan ini, MyGOV Malaysia berpotensi berkembang daripada sebuah platform yang menghimpunkan perkhidmatan kerajaan kepada pembantu digital kerajaan yang dapat membantu rakyat menyelesaikan urusan dengan lebih mudah, pantas dan tersusun. Rakyat tidak lagi perlu mengetahui terlebih dahulu agensi atau sistem kerajaan yang perlu dilayari. Pengguna boleh menyatakan keperluan mereka dalam bahasa yang mudah, dan sistem berasaskan Agentic AI boleh membantu mengenal pasti perkhidmatan yang berkaitan, memberikan panduan langkah demi langkah serta, apabila tersedia dan mendapat kebenaran pengguna, membantu melaksanakan tindakan yang diperlukan melalui sistem kerajaan yang berkaitan. Sebagai contoh, semakan saman polis melalui Agentic AI menyediakan pengalaman baru kepada rakyat dengan menyediakan menu pembayaran saman sehingga selesai.

Pendekatan ini akan menyokong aspirasi Kerajaan untuk mengurangkan kerumitan birokrasi digital dan mewujudkan pengalaman perkhidmatan awam yang lebih mesra pengguna, berorientasikan rakyat dan berpaksikan rakyat. Teknologi digerakkan untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa perlu mereka memahami kerumitan sistem kerajaan. Pelaksanaan Agentic AI membolehkan MyGOV Malaysia beralih daripada sekadar menyediakan akses perkhidmatan kepada membantu rakyat menyelesaikan urusan dengan lebih mudah.

Penerapan Agentic AI dalam MyGOV Malaysia akan dilaksanakan secara berperingkat dan bertanggungjawab, dengan mengambil kira aspek keselamatan, privasi data, ketepatan maklumat, tadbir urus AI, ketelusan serta kawalan manusia.

Kementerian Digital akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan penerapan Agentic AI dalam ekosistem digital Kerajaan dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan berkesan, selaras dengan aspirasi membangunkan Kerajaan MADANI yang lebih pintar, tangkas dan berorientasikan rakyat, serta menyokong hasrat Malaysia menjadi Negara AI menjelang 2030.

MyGOV Malaysia terus berkembang sebagai platform sehenti yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan digital Kerajaan. Sehingga Julai 2026, platform ini telah merekodkan lebih 2.9 juta pengguna, dengan 52 perkhidmatan daripada 19 agensi kerajaan tersedia untuk capaian rakyat. Dengan penerapan Agentic AI yang sedang dilaksanakan secara beta bermula awal Ogos 2026, MyGOV Malaysia akan terus diperkasa sebagai gerbang tunggal yang bukan sahaja menghubungkan rakyat dengan Kerajaan, malah membantu memudah dan mempercepat urusan perkhidmatan awam secara lebih pintar, responsif dan berorientasikan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Dia Macam Tunggu Saya Buat Salah, Rasa Diri Terpenjara’

0
SHAH ALAM – Masih menaruh harapan, bekas isteri Nubhan, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr. Fie, 36, berharap kes komital yang difailkan penyanyi...

CATEGORIES