Filem aksi inspirasi rali, Terbang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 17 September depan dengan mengangkat kisah keberanian anak Malaysia mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Diarahkan pengarah tersohor, Chiu Keng Guan, naskhah tersebut turut melancarkan treler dan poster rasmi yang memaparkan visual penuh dinamik, sekali gus memberi gambaran terhadap aksi serta emosi yang bakal disajikan kepada penonton.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pemilihan tarikh tayangan dibuat bersempena sambutan Hari Malaysia bagi meraikan semangat perpaduan dan identiti rakyat negara ini.
“TERBANG adalah sebuah filem yang mengangkat kisah Malaysia di mata dunia dengan semangat pasukan tempatan melangkaui batas.
“Kami akan mempersembahkan filem ini pada 17 September di pawagam seluruh tanah air.
“Pemilihan tarikh tayangan tersebut seiring dengan sambutan Hari Malaysia dan membawa makna yang istimewa kerana ia meraikan semangat perpaduan, kebanggaan dan identiti kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran treler dan poster rasmi filem tersebut di Carfe, di Petaling Jaya, semalam.

Menurut Jastina, pihaknya turut memperkenalkan kempen ‘Kita Terbang Sama-Sama’ bagi membawa penonton lebih dekat dengan dunia Terbang menerusi pelbagai aktiviti bersama rakan strategik.
“Menjelang tayangan, kami ingin mengajak penonton menjadi sebahagian daripada perjalanan TERBANG menerusi tema ‘Kita Terbang Sama-Sama’.
“Harapan kami agar TERBANG menjadi lebih daripada sekadar sebuah filem dan menjadi sebuah pengalaman bersama yang menyatukan rakyat Malaysia serta mencetuskan rasa bangga terhadap kisah yang lahir dari negara kita sendiri,” ujarnya.
Diinspirasikan daripada perjalanan legenda rali negara, Karamjit Singh, Terbang mengisahkan semangat juang seorang anak Malaysia yang berani mencabar batas demi mengharumkan nama negara di pentas dunia.
Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama EJJ Films, Enotech Pictures dan Aventure Space itu dibarisi pelakon Irfan Zaini, Jack Tan, Nadiya Nisaa, Daiyan Trisha, Tony Eusoff serta menampilkan Karamjit Singh sebagai penampilan khas.
Terdahulu, Terbang mencetuskan perhatian menerusi video acah, kolaborasi bersama STING serta kemunculan semula kereta ikonik Proton PERT di EON Auto Fest.
Menjelang tayangan, pelbagai aktiviti turut dirancang termasuk Cabaran Rali TERBANG x STING, Kembara EV, siri jelajah ke beberapa negeri, kolaborasi bersama U Mobile serta penghasilan koleksi eksklusif bertemakan filem tersebut.





