PETALING JAYA – Perlu ada ‘mindset’ gila duit, pelakon Syatilla Melvin menegaskan statusnya sebagai selebriti atau pemilik perniagaan bukan alasan untuk dirinya berhenti mencari peluang menambah pendapatan termasuk menerusi program pemasaran afiliasi atau affiliate.
Ujar Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 35, peluang mencari rezeki tidak wajar ditolak selagi dilakukan dengan cara baik kerana semakin banyak pendapatan diperoleh, kian besar tanggungjawab membantu insan sekeliling.
“Mungkin ada orang beranggapan, sudah berduit dan ada produk sendiri, tetapi kenapa masih buat affiliate? Jawapannya mudah, ramai orang di sekeliling bergantung harap kepada kita tanpa kita sedar.
“Jadi apabila peluang mudah datang depan mata untuk kita cari duit, kenapa hendak duduk diam? Tak kisah apa status kita.
“Mindset ‘gila duit’ kena ada demi kesenangan orang lain. Lagi banyak rezeki Allah beri, lagi ramai juga Allah hantar untuk kita bantu dan suap,” katanya dalam Threads.
Tambah pelakon drama Selafaz Cinta itu, dia tidak melihat usaha mencari pendapatan tambahan sebagai sesuatu memalukan, sebaliknya bersyukur setiap kali diberikan ruang menambah rezeki.
Dia juga turut memberi semangat kepada pengikut, khususnya mereka dalam kalangan affiliate yang masih berusaha membina pendapatan walaupun bukan daripada latar belakang selebriti.
“Dan demi Allah, satu sen pun kita keluarkan tidak akan sesekali merugikan. Saya doakan semua yang masih mencuba, tolong jangan mengalah.
“Berapa ramai affiliate bukan selebriti pun, tetapi jauh lebih kaya daripada artis. Sumpah, saya bangga melihat mereka. Tolong teruskan usaha.
“Selagi kita buat perkara Allah suka, tidak mungkin Allah akan menyulitkan urusan. Bismillah,” ujarnya.
Sebelum ini, Syatilla mencuri perhatian apabila netizen mempersoalkan keputusan dirinya masih aktif melakukan affiliate meskipun sudah memiliki perniagaan sendiri dan sering dianggap berada dalam kedudukan kewangan selesa.
Sumber – Kosmo! Online





