Rawang: Aliff Daniel Adli, 21, yang sebelum ini tular melakukan ritual agama lain diarah menjalani pemulihan akidah oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah.
Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Ulu Yam selama tiga bulan berkuat kuasa hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan pemujaan salah dengan cara menjunjung alat keagamaan lain, melakukan ritual mencucuk anggota badan dan berlutut sambil kedua-dua tangan dirapatkan di dada di hadapan patung di sebuah kuil di Batu Caves, antara jam 9 malam hingga 11 malam, 24 Januari 2024.
Aliff Daniel didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketika menyampaikan penghakimannya, Mohd Faizal berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh bukan sekadar kesalahan undang-undang bertulis, tetapi kesalahan berat kerana membabitkan perbuatan syirik.
“Kesalahan yang kamu lakukan ini bukan sekadar kesalahan yang lazim dilakukan dalam kesalahan-kesalahan jenayah. Lebih daripada itu, ia membabitkan akidah dan tauhid kamu sebagai seorang penganut Islam.
“Di usia 18 tahun ketika melakukan kesalahan, mungkin kamu cuba meneroka pelbagai perkara ketika muda, tetapi kamu perlu sedar ada batasannya.
“Walaupun kamu menyatakan sudah bertaubat, perlu direkodkan di sini bahawa mahkamah menasihati kamu supaya bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dengan taubat nasuha,” katanya.
Mahkamah juga bersetuju dengan cadangan pendakwa syarie untuk menggantikan hukuman penjara dan denda kepada perintah pemulihan akidah mengikut Seksyen 54(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
“Mengambil kira usia muda kamu dan bagi memastikan kamu boleh menjaga diri kamu serta ibu kamu yang kamu titikberatkan dalam mitigasi.
“Mahkamah mengarahkan kamu untuk menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman selama tiga bulan bermula hari ini,” kata Mohd Faizal.
Susulan itu, Aliff Daniel yang berbaju putih dan berkopiah dibawa terus oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke Baitul Iman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Siti Nor Hashibah Jamhari, Zamniazura Mohd Sarin dan Husaini Roslin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Zamniazura mencadangkan mahkamah mengguna pakai kuasa budi bicara yang diperuntukkan di bawah Seksyen 54(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Seksyen itu membolehkan mahkamah menggantikan hukuman penjara dan denda terhadap individu yang disabitkan bersalah kepada perintah pemulihan di pusat pemulihan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.
Dalam mitigasinya, Aliff Daniel merayu supaya hanya dikenakan denda minimum dan tidak dihukum penjara atas alasan perlu menjaga ibunya yang baru menjalani pembedahan, selain dia sudah bertaubat.
“Saya juga mohon dibenarkan menjalani kelas bimbingan agama di masjid berhampiran rumah,” katanya.
Bagaimanapun, pendakwaan membantah permohonan itu kerana berpandangan tertuduh perlu dipantau di pusat pemulihan oleh pihak berautoriti agama.
Mahkamah menetapkan 25 Februari tahun depan sebagai sebutan semula kes untuk pihak pendakwaan memaklumkan laporan pemulihan akidah.
Sumber – Harian Metro





