PETALING JAYA – Aktor Indonesia Jefri Nichol tampil bersuara sekaligus menepis dakwaan dia menggunakan wang termasuk kad kredit bekas kekasih difahamkan Ameera Khan ketika menjalin hubungan cinta sebelum ini.
Mempertahankan diri, Jefri, 27, berkata, dakwaan menggunakan kad kredit tidak benar kerana dia sudah menawarkan untuk membayar semula namun ditolak bekas kekasihnya.
“Baby belum ‘move on’ ke?
“Ketika berada di Dubai, saya mahu membeli sesuatu untuk dia namun penggunaan kad kredit saya mempunyai limit.
“Saya pakai kad kreditnya dulu. Kemudian saya mahu ‘transfer’ tetapi dia menolak. Akhirnya saya ganti dengan membelikannya gelang jenama Van Cleef,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Tegas Jefri, dia bukan jenis individu yang meminta-minta apatah lagi ditanggung oleh kekasih.
“Untuk pengetahuan kalian, saya tidak pernah minta apa pun, apatah lagi dibayarkan.
“Saya sudah bekerja keras untuk diri sendiri, keluarga dan selalu lakukan yang terbaik untuk memberi sesuatu kepada insan tersayang.
“Jadi, sekiranya ada orang lain memberitahu hal yang sebaliknya, itu adalah penipuan atau kalian tidak mengenali saya,” katanya lagi
Ujarnya membalas komen netizen yang meminta untuk berdiam diri, dia memberiahu tidak kisah dengan setiap perkara berkaitan Ameera namun memilih untuk bersuara kerana kenyataan dikatakan bercanggah dari situasi sebenar.
“Saya tidak kisah sebenarnya tetapi karena naratifnya ke mana-mana, saya perlu bersuara,” jelasnya.
Dalam hantaran lain, dia juga memuatnaik sekeping foto sejambak bunga yang didakwa diberikan kepada Ameera ketika makan malam di Milan pada Jun 2025 sekaligus menepis tuduhan tidak pernah memberi hadiah sepanjang tempoh bercinta.
Terdahulu, tular rakaman video siaran langsung memaparkan Ameera mendedahkan dia menggunakan kad kredit sendiri untuk membayar bil setiap kali berjanji temu dengan Jefri.
Ameera dan Jefri dikatakan mula rapat sekitar tahun 2023 sebelum memutuskan untuk bercinta pada awal 2024.
Mereka juga kerap bergandingan dalam mempromosikan barangan dan pakaian mewah daripada jenama terkenal luar negara.
Hubungan cinta mereka bagaimanapun dikhabarkan berakhir pada November 2025 selepas kedua-duanya memadam foto bersama dan saling tidak mengikuti akaun Instagram masing-masing.
Sumber – KOSMO! ONLINE





