Thursday, November 5, 2026
HomeHIBURANTrisha Ooi Tak Mahu Terbeban Dengan Sasaran Kemenangan Selepas Raih Pengiktirafan

Trisha Ooi Tak Mahu Terbeban Dengan Sasaran Kemenangan Selepas Raih Pengiktirafan

KUALA LUMPUR – Kemenangan Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33 bukan sekadar pengiktirafan buat pelakon Trisha Ooi, sebaliknya hadir bersama tanggungjawab dan tekanan besar untuk terus membuktikan kemampuannya dalam industri perfileman.

Trisha, 27, mengakui trofi yang diraih dua tahun lalu menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan persembahan terbaik, namun pada masa sama mencetuskan persoalan mengenai langkah seterusnya dalam perjalanan seni.

Katanya, sebelum meraih kemenangan, dia tidak terlalu memikirkan soal anugerah, sebaliknya menganggap setiap pencalonan sebagai rezeki. Bagaimanapun, tekanan dirasakan berbeza selepas bergelar pemenang.

“Saya selalu menganggap anugerah itu sebagai pembakar semangat untuk saya terus menjayakan lebih banyak projek baharu. Apabila menang, bukan bermaksud kita mahu menunjukkan kepada orang bahawa kita mampu.

“Ia mengenai tanggungjawab yang orang sudah berikan kepada kita. Apabila menang Pelakon Wanita Harapan, saya rasa tanggungjawab itu agak berat untuk dipikul dan tekanan itu memang benar.

“Sebelum ini, mungkin saya tidak terlalu memikirkan soal kemenangan. Saya fikir, kalau ada rezeki, mengapa tidak? Tetapi selepas menang, tekanannya berbeza.

“Saya mula tertanya-tanya, apakah perkara seterusnya yang perlu dilakukan? Apa lagi yang perlu dibuktikan kepada masyarakat, pihak juri dan industri filem kita?” katanya.

Bagaimanapun, pelakon drama Pickle Rival itu berkata, perjalanan sebagai anak seni bukan semata-mata untuk membuktikan kemampuan kepada orang lain atau mengejar trofi, sebaliknya memberi sumbangan kepada industri perfileman tempatan.

“Sekarang saya fikir, sebenarnya bukan soal membuktikan sesuatu kepada sesiapa. Saya berlakon dalam industri ini adalah untuk mengangkat industri perfileman kita, tidak kira sama ada menang atau tidak.

“Sekarang saya lebih relaks dan tenang kerana kembali kepada niat pertama saya, iaitu untuk mengangkat filem tempatan serta sentiasa memberikan yang terbaik supaya dapat menyumbang lebih banyak kepada industri kita sendiri.

“Itu yang saya pegang sekarang. Menang atau tidak, tercalon atau tidak, semuanya saya serahkan kepada Allah SWT,” katanya.

Ditanya sama ada meletakkan sasaran untuk meraih trofi lagi selepas dua tahun sejak kemenangan FFM33, Trisha berkata, dia tidak mahu dibebani keinginan untuk terus menang.

“Ketika menang dahulu, saya terfikir, apa pula selepas ini? Tahun depan perlu menang lagi ke? Tetapi selepas dua tahun, saya rasa lebih relaks. Saya sangat suka berlakon dan itulah perkara yang saya mahu lakukan.

“Sebenarnya, saya dalam industri ini mahu menjadi seorang pelakon kerana ia memang hati dan jiwa saya. Kedua, saya mahu menyumbang kepada industri perfileman kita sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, Trisha berharap industri perfileman Malaysia dapat berkembang seiring dengan industri luar negara, tanpa terlalu menjadikan karya antarabangsa sebagai kayu ukur.

Katanya, penggiat seni perlu melihat ruang yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh industri tempatan, termasuk melalui mutu karya dan komitmen pelakon.

“Kita kalau boleh, mahu sama-sama naik dengan industri perfileman luar. Kita selalu membandingkan dengan industri luar, tetapi apa yang boleh kita buat untuk industri kita sendiri?

“Cerita-cerita seperti apa yang boleh dihasilkan atau sebagai seorang pelakon, apa yang saya boleh buat? Sentiasa memberikan yang terbaik.

“Kita tidak perlu meniru atau terlalu mengangkat industri perfileman luar. Saya masih tidak memilih filem atau projek yang diberikan kepada saya, tetapi akan sentiasa cuba memberikan yang terbaik, insya-Allah,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Yusuf Bahrin Mahu Teroka Watak Berbeza, Tidak Lagi Kerap Bawa Drama...

0
Pelakon, Yusuf Bahrin berharap agar dirinya tidak lagi terlalu kerap diberikan watak dalam drama percintaan kerana mahu meneroka karakter yang lebih mencabar, khususnya menerusi...

CATEGORIES