SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengisytiharkan 25 Oktober 2026 (Ahad) sebagai Hari Kelepasan Am atau Cuti Peristiwa di seluruh negeri sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor , Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata memandangkan tarikh berkenaan jatuh pada hari Ahad, maka hari berikutnya, Isnin, 26 Oktober 2026 ditetapkan sebagai Hari Kelepasan Am Gantian.
“Kerajaan negeri Selangor mengumumkan cuti peristiwa ini bagi menyemarakkan lagi keraian bersejarah ini bersama rakyat.
“Sebanyak 20 program dan majlis rasmi dijadualkan berlangsung bermula 28 September hingga 1 November 2026 sebagai tanda taat setia, penghormatan dan rasa kesyukuran seluruh pentadbiran serta rakyat jelata di bawah naungan pemerintahan baginda.
“Semua program yang disusun ini sudah dipersembahkan kepada Tuanku merangkumi dimensi kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur serta sukan,” katanya dalam sidang media di SUK di sini hari ini.
Ahmad Fadzli berkata, bagi menzahirkan prinsip tadbir urus berhemah, kerajaan negeri menjunjung penuh titah Sultan Selangor agar keseluruhan sambutan ini dilaksanakan secara sederhana, berhemah dan berimpak tinggi tanpa sebarang pembaziran.
“Acara kemuncak sambutan akan berlangsung pada 25 Oktober 2026, bersempena genap 25 tahun pemerintahan Baginda, yang melibatkan tiga istiadat utama, antaranya Istiadat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama berserta 21 das tembakan.
“Program Kerohanian iaitu Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat serta Multaqa dan Forum Perdana Ehwal Islam.
“Program Warisan & Dokumentasi Sejarah membabitkan Majlis Pelancaran Sampul Surat dan Setem Khas, Duit Syiling Peringatan serta pelancaran buku Menjulang Takhta,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, rangkaian sambutan ini akan melabuhkan tirainya pada 1 November 2026 menerusi Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemasyhuran Gelaran Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.
Sumber – Berita Harian





