SELAYANG: Premis menyembelih dan memproses ayam mentah disyaki menggunakan penyembelih warga asing diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi di Pasar Borong Selayang, hari ini.
Serbuan dijalankan ke atas enam premis bersebelahan membabitkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas (BPOK) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bermula 1.45 pagi tadi.
Wartawan yang mengikuti operasi itu mendapati, hanya sebuah premis memproses ayam mempunyai penyembelih bertauliah warga tempatan yang diperakui oleh pihak berkuasa berkaitan.
Tinjauan di lokasi mendapati, beberapa premis terbabit berbau busuk dan kotor malah terdapat ayam yang sudah disembelih diletakkan di atas lantai premis yang dipenuhi dengan najis haiwan itu.
Difahamkan, ada juga antara premis terbabit disyaki menggunakan kaedah water stunning dengan voltan yang terlalu tinggi sehingga ayam berkenaan dikhuatiri mati sebelum disembelih namun perkara itu masih dalam siasat pihak JAIS.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jafri Embok Taha yang mengetuai operasi berkata, serbuan itu diadakan susulan aduan dan risikan pihaknya selama tiga minggu di lokasi berkenaan.
Katanya, 36 pekerja warga asing kesemuanya lelaki berusia 25 hingga 45 tahun ditahan di pusat penyembelihan terbabit.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi bersama pihak JAIS hanya menemui dua pekerja tempatan yang memiliki tauliah untuk menyembelih haiwan.
“Warga asing ditahan terdiri daripada 10 warga Bangladesh, Myanmar (25 orang) serta seorang Indonesia, yang mana ada antara mereka memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Ada juga yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.
Sementara itu, Jurucakap JAIS menjelaskan, siasatan lanjut akan dijalankan berhubung aktiviti penyembelihan meragukan di premis terbabit mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
“Pemeriksaan awal ada menemui ayam yang mati sebelum disembelih sekali gus tidak ikut hukum syarak,” katanya.
Sumber – Kosmo! Online





