PETALING JAYA: Hasrat pelakon, Fiffy Azmi untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian apabila hubungan cintanya berakhir selepas mendakwa dicurangi bekas kekasih yang hanya dikenali sebagai ‘NZ’.
Lebih memilukan, Fiffy, 36, berkata dia mengetahui mengenai kecurangan tersebut pada hari ulang tahun kelahirannya, April lalu.
“NZ, semoga segala urusan pada hari-hari mendatang dipermudahkan.
“Saya kini melangkah ke fasa baharu dengan lebih tenang, kuat dan bermaruah. Apa yang ditakdirkan untuk saya akan hadir, manakala yang bukan milik saya akan pergi.
“Semoga kita dipertemukan dengan insan yang ikhlas, baik dan sesuai untuk menemani perjalanan hidup masing-masing,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Dalam hantaran berasingan, pelakon filem Wira itu turut berkongsi tangkap layar perbualan yang didakwa menunjukkan bekas kekasihnya mengajak seorang wanita datang ke kediamannya.
“Tidak pernah terlintas untuk berkongsi perkara sebegini. Namun, jika ini dapat menjadi peringatan kepada wanita di luar sana supaya mempercayai naluri sendiri, saya rasa perkongsian ini berbaloi.
“Anggaplah ini sebagai peringatan bahawa pengkhianatan bukan semestinya datang daripada orang luar. Kesetiaan juga bukan sesuatu yang boleh dijamin hanya kerana seseorang itu kelihatan baik atau berpegang pada agama.
“Tidak semua pengkhianatan memusnahkan kita. Ada yang hadir untuk menunjukkan siapa yang tidak perlu kekal dalam hidup kita. Saya sudah sembuh,” katanya.
Dalam pada itu, Fiffy mengakui pengalaman tersebut menjadi pengajaran terbesar dalam hidupnya bahawa kesetiaan tidak boleh diharapkan daripada individu yang salah.
“Saya sudah ‘move on’.
“Saya juga belajar bahawa ketenangan jauh lebih bermakna daripada memaksa seseorang untuk setia,” ujarnya.
Sebelum ini, dalam satu temu bual, Fiffy pernah menyatakan dia tidak mahu membuang masa terlalu lama dalam percintaan dan berhasrat untuk mendirikan rumah tangga kerana menganggap hubungan yang dijalinnya ketika itu sudah berada pada fasa yang serius.
Sumber – UTUSAN





