KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Scha Alyahya berpandangan, masyarakat sering melihat kehidupan selebriti dari sudut luaran semata-mata tanpa menyedari pelbagai cabaran serta tekanan yang perlu dihadapi mereka di sebalik populariti yang dimiliki.
Menurut Scha, kehidupan sebagai artis tidak lari daripada pasang surut dan pelbagai bentuk perjuangan yang jarang diketahui umum kerana kebanyakannya berlaku di belakang tabir.
“Orang ramai hanya nampak apa yang berada di permukaan. Mereka nampak kita di televisyen, di acara-acara hiburan dan di media sosial, tetapi pada akhirnya ini hanyalah satu pekerjaan seperti pekerjaan lain yang mempunyai turun naiknya sendiri.
“Malah, ada cabaran yang sebenarnya jauh lebih sukar daripada apa yang orang sangkakan kerana banyak perkara berlaku di belakang tabir yang tidak diketahui umum.
“Kita bukan berdepan kesusahan yang boleh dilihat secara fizikal, sebaliknya tekanan itu datang dalam pelbagai bentuk termasuk ekspektasi masyarakat terhadap diri kita,” katanya.
Scha berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana filem 5 Bomoh di ibu negara, semalam.
Selain itu, kata Scha, tekanan tersebut bukan sahaja dirasai oleh artis, malah turut memberi kesan kepada ahli keluarga mereka.
“Ada kalanya keluarga kita juga terkena tempias daripada apa yang berlaku dalam kerjaya kita. Perkara-perkara seperti itu sebenarnya sangat berat untuk dipikul, namun orang ramai tidak nampak kerana mereka hanya melihat sisi glamor yang ditonjolkan.
“Sebab itu saya berpendapat setiap individu mempunyai perjuangan masing-masing.
“Bukanlah untuk membandingkan atau memperkecilkan cabaran orang lain, tetapi hakikatnya setiap orang berdepan ujian yang berbeza dalam kehidupan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Scha mengakui industri hiburan tempatan yang kecil turut menjadi antara faktor yang membataskan peluang dan pendapatan penggiat seni.
“Kalau bercakap mengenai bayaran, kita perlu melihat realiti industri di Malaysia. Pasaran kita kecil dan masih mempunyai banyak keterbatasan untuk berkembang ke negara-negara lain di rantau Asia.
“Dalam industri ini, bukan artis sahaja yang berdepan cabaran. Ia melibatkan satu ekosistem yang besar merangkumi penerbit, produksi dan pelbagai pihak lain. Kebanyakannya berusaha dalam ruang yang sama dengan peluang yang terhad.
“Seorang artis di Malaysia bukan sahaja perlu berlakon, tetapi turut terlibat dalam promosi, pemasaran dan pelbagai usaha lain untuk memastikan karya yang dihasilkan mendapat perhatian. Jadi, komitmen yang diperlukan sebenarnya jauh lebih besar daripada apa yang disangka oleh sesetengah pihak,” katanya.
Terdahulu, pelakon Yusuf Bahrin berpendapat masyarakat sering menganggap kehidupan artis dipenuhi kemewahan dan populariti, sedangkan hakikatnya golongan itu turut berdepan pelbagai pergelutan serta cabaran yang tidak diketahui umum demi meneruskan kelangsungan kerjaya dalam industri hiburan.
Sumber – Utusan





